HomeBeritaPengurus hartanah mengaku tidak bersalah campak kucing dari tingkat 15

Pengurus hartanah mengaku tidak bersalah campak kucing dari tingkat 15

PETALING JAYA: Seorang pengurus hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat terhadap seekor kucing dengan mencampakkan haiwan itu dari tingkat 15 di sebuah pangsapuri di Jalan PJS 8/9 di sini, Isnin lepas.

Chan Kam Kin, 44, didakwa melakukan perbuatan tersebut sehingga menyebabkan kematian ke atas haiwan itu pada 7.30 malam

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz menawarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Kailash Sharma yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya mempunyai seorang anak berusia lapan tahun serta tidak berpendapatan tetap.

Majistret, Zhafran Rahim Hamzah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari 2023 untuk sebutan kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan berikutan laporan polis yang diterima berhubung tindakan suspek mencampakkan kucing milik jirannya dari tingkat 15 di sebuah pangsapuri. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor