HomeBeritaKebakaran rumah kedai, bomba berjaya selamatkan tiga lelaki

Kebakaran rumah kedai, bomba berjaya selamatkan tiga lelaki

 

KUALA LUMPUR: Bomba berjaya menyelamatkan tiga lelaki warga asing yang terperangkap apabila tingkat tiga sebuah rumah kedai di Jalan Datuk Haji Eusoff di sini, terbakar awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Mohd Alhafiz Asmuni berkata, sebaik menerima panggilan daripada orang awam pada 1.31 pagi, pihaknya menggerakkan 32 anggota dan jentera dari BBP Sentul, Jalan Hang Tuah dan Titiwangsa yang tiba di lokasi lapan minit kemudian.

“Sewaktu anggota menaiki tangga kedai untuk ke tingkat tiga, bomba terserempak dengan dua mangsa dan membawa mereka turun ke tingkat bawah. Mereka memaklumkan terdapat seorang lagi rakan terperangkap di tingkat tiga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, selepas menyelamatkan mangsa ketiga itu, operasi pemadaman dilakukan dari luar bangunan bagi mengawal api daripada merebak sebelum kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 1.52 pagi.

Katanya, kebakaran itu melibatkan dua bilik yang didiami pekerja asing manakala punca kebakaran dan kerugian masih disiasat.

Menurut Alhafiz, ketiga-tiga mangsa yang tidak fasih berbahasa Melayu mahupun Inggeris itu enggan dibawa ke hospital dan hanya menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur di lokasi. – BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor