SHAH ALAM: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, mendakwa rekod pentadbiran kerajaan ketika Perikatan Nasional (PN) lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan Armada Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, di bawah pentadbiran kerajaan PN rakyat mendapat bantuan paling banyak ketika menempuh era ekonomi dan pandemik COVID-19 yang sangat sukar.
Mohd Asyraf Mustaqim berkata, pemimpin yang menggantikan Presiden Bersatu sebagai PM iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat lemah dan kurang membantu rakyat atau negara memulihkan ekonomi.
“Ketika era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin dia ada Menteri Ekonomi, dia percaya menteri itu, yang akhirnya menteri itu sudah tidak bersama dengan dia (beralih kepada parti pimpinan baharu), tapi apa hasilnya, subsidi ditarik balik, harga barangan naik, OPR (kadar dasar semalaman) naik berkali-kali.
“Sedangkan zaman Tan Sri Muhyiddin dalam keadaan sukar, kita uruskan sumber dengan baik, beri subsidi rakyat, imbangi hasil dapatan, kita urusan dengan baik, tapi sekarang macam sudah tidak ada aturan.
“PN menggalakkan penghasilan dan keluaran produk makanan secara domestik tetapi Ismail Sabri pula menggalakkan pergantungan import,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Srikandi Muda dan Armada Bersatu di Glenmarie Resort, di sini.
Seramai 150 perwakilan bahagian hadir dalam persidangan dua hari itu yang dilancarkan sejak semalam.
Nurul Fadzilah Kamaluddin yang juga Ketua Srikandi Muda Bersatu turut hadir.