HomePendidikanPetronas tubuh Pusat Sains di Sandakan dan Tawau

Petronas tubuh Pusat Sains di Sandakan dan Tawau

TAWAU: Petronas akan menubuhkan dua pusat sains iaitu di Tawau dan Sandakan yang akan membantu penduduk terutama pelajar untuk mendapat akses pembelajaran sekali gus meningkatkan kesedaran ke arah pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong berkata, pusat sains yang akan dilengkapi dengan maker studio dan playsmart itu akan dibina di Perpustakaan Wilayah Tawau dan Perpustakaan Wilayah Sandakan.

“Projek ini menelan belanja sebanyak RM10 juta dan dijangka siap pada 2024, pusat sains ini bakal memberi pengalaman yang menyeronokkan kepada para pelajar, guru dan penduduk setempat dengan pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan secara interaktif apabila berkunjung ke pusat sains berkenaan.

“Petronas berharap pusat sains ini menyumbang kepada pembangunan modal insan dan peningkatan kemahiran komuniti setempat di Tawau dan Sandakan,” katanya ketika berucap pada prapelancaran Pusat Sains Tawau dan Sandakan disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan.

Menurutnya, sejak 2010 hingga kini Petronas membelanjakan lebih RM295 juta peruntukan untuk melaksanakan pelbagai program pendidikan serta pembangunan modal insan di Sabah dan lebih 1 juta penduduk menerima manfaat.

Sementara itu, Yakub berharap pusat sains sama turut dapat diwujudkan di tiga atau lima daerah lain pada masa hadapan untuk menarik minat komuniti mendalami bidang STEM memandangkan keadaan geografi negeri ini yang agak luas.

“Mungkin pada 2023, Petronas boleh mempertimbangkan untuk pembinaan tiga lagi pusat sains di perpustakaan negeri termasuk di Kota Belud,” katanya. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor