HomeBeritaPolitikPRU15: BN miliki rekod prestasi baik perintah negara - Saarani

PRU15: BN miliki rekod prestasi baik perintah negara – Saarani

 

IPOH: Pengundi di Perak digesa supaya membuat pilihan yang bijaksana pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memastikan kerajaan baharu adalah kuat dan stabil.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata, pengundi perlu memilih gabungan parti seperti BN kerana mempunyai ‘rekod prestasi’ yang cukup baik selama memerintah negara ini.

“Selain kerusi UMNO, BN mempunyai parti MCA dan MIC yang akan mewakili rakyat kaum Cina dan India dalam kerajaan negeri,” katanya pada sesi temu bual ekslusif bersama media menjelang PRU15 di Laman Seri Ridzuan di sini malam ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Tampan itu berkata, pihaknya berhasrat merealisasikan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada Jun lepas yang menggarapkan pelan pembangunan jangka masa sederhana dan panjang di peringkat negeri, persekutuan dan antarabangsa.

Menurutnya, pelan pembangunan itu yang sebahagiannya sudah mula dilaksanakan termasuk bagi pemulihan ekonomi selepas negara dilanda COVID-19 bukan janji kosong, dan hanya boleh direalisasikan dengan adanya kerajaan yang stabil.

Saarani berkata, BN mempunyai strategi tersendiri di Parlimen Tambun yang bakal menyaksikan persaingan sengit antara penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan nama besar iaitu ketua pembangkang yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tambun kawasan besar dan mungkin BN perlu bantuan rakan lain untuk bantu, jadi kita akan sediakan pasukan sokongan itu dan saya percaya kebijaksanaan pengundi-pengundi untuk membuat pilihan. Kita juga akan mendekati golongan pengundi baharu yang akan mengundi pertama kali dengan baik,” katanya.

Mengenai parti DAP yang meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri Changkat Jong dan Parlimen Gerik yang majoritinya pengundi Melayu, Saarani berkata, ia bukan perkara baharu malah pernah dilakukan sebelum ini.

Kerajaan Negeri Perak sebelum ini dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu BN, Bersatu dan PAS.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kini mengandungi 25 ADUN BN, DAP (15), Amanah, (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan bebas (satu).

DUN Perak mempunyai 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan memerlukan sokongan 30 ADUN bagi mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. – BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor