HomeHiburanTerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa, Fauziah Nawi dapat pengganti kereta terbakar

Terima Anugerah Tokoh Seri Angkasa, Fauziah Nawi dapat pengganti kereta terbakar

MENERIMA Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 bagaikan satu doa yang termakbul bagi Seniwati Fauziah Nawi apabila beliau turut menerima hadiah kereta daripada penaja di samping wang tunai RM10,000 dan trofi.

Pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam, Fauziah menerima anugerah tersebut atas sumbangan beliau dalam industri seni tanah air termasuk memperjuangkan nasib anak seni tempatan.

Fauziah berkata, selama 50 tahun memasuki industri ini, beliau tidak pernah memikirkan tentang memperoleh anugerah, bahkan hanya memikirkan bahawa seni itu dapat menghidupkan beliau dan keluarga.

Beliau sangat berbesar hati menerima anugerah itu, menurutnya, anugerah itu satu anugerah yang dikira memberi penghormatan kepada semua anak seni.

“Terima kasih kepada pihak penganjur Anugerah Seri Angkasa 2022, dan untuk pengetahuan semua, Jabatan Penyiaran RTM adalah universiti pertama saya, saya adalah kelahiran RTM, terima kasih.

“Dan malam ini, kalau arwah bapa saya ada tentu dia gembira sebab dia sebenarnya tak suka saya masuk industri ini kerana dia kata saya membuka ruang dan peluang ke pintu fitnah, tapi bila dah masuk, dia kata, kau tak boleh keluar.

“Saya sangat berbesar hati kerana mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong saya, terima kasih cucu-cucu saya, jadi hari ini Mak Nek jadi ‘champion’ lah,” ucapnya ketika menerima anugerah.

Beliau turut berpesan kepada semua anak seni agar terus berusaha melakukan hasil kerja mereka tanpa henti dan berputus-asa, kerana rezeki itu akan datang bila-bila masa.

Tegasnya lagi kepada semua anak seni, untuk terus menghasilkan karya seni mereka dengan hati yang ikhlas dan kehendak ingin menghasilkannya, bukan kerana mengharapkan anugerah.

Selepas menerima trofi berserta wang tunai yang disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, pengacara majlis mengumumkan pihak penaja ingin membuat kejutan dengan pemberian sebuah MPV Mitsubishi Expander yang dipamerkan di majlis.

Terharu dengan berita tersebut, Fauziah berkongsikan detik sukarnya yang kehilangan kereta dalam kebakaran dan sangat memerlukan kereta untuk memudahkan urusan hidupnya.

“Sebenarnya Allah itu sangat baik dengan saya, hari itu masa dekat FINAS, diorang ada cabutan bertuah kereta, sebab saya dah tak ada kereta, saya kata saya nak beli saya nak dapat cabutan, dapatkan kereta, kereta itu dah terbakar, saya tak ada kereta.

“Saya kata, saya tak akan mampu nak beli kereta sebab saya dah tua, tak boleh ambil ‘loan’, dan malam ini Allah makbulkan doa saya, terima kasih,” ujarnya bersyukur.

Selain beliau, antara pemenang anugerah diumumkan ialah Drama Berjudul, Pencipta Pegang Waktu, oleh Nor Shahila Harun Shah terbitan TV3 bagi Drama TV Terbaik dengan membawa pulang trofi kemenangan, hadiah wang tunai serta Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM200,000.

Manakala, Dokumentari berjudul Social Playlist oleh Herbert Pua Kuo Jie terbitan Astro pula memenangi Anugerah Dokumenteri TV Terbaik turut merangkul pulang trofi kemenangan, hadiah wang tunai serta DKD bernilai RM150,000.

Para pemenang semua kategori Anugerah Seri Angkasa 2022 bukan sahaja menerima trofi kemenangan masing-masing bahkan turut menerima hadiah berbentuk wang tunai berjumlah RM5,000.

Author

Pilihan Editor