CYBERJAYA: Barisan Nasional (BN) perlu menampilkan calon orang muda bagi mewakili gabungan parti itu di Parlimen Ranau untuk mewakili anak muda di kawasan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ranau, Vennex Jasmin berkata, pucuk pimpinan diminta untuk memberi peluang kepada Pemuda UMNO mewakili parti itu memandangkan gerak kerja sudah dilaksanakan oleh pemuda bahagian Ranau di kawasan terbabit.
“Khabar angin, kemungkinan kerusi Parlimen Ranau akan diberikan kepada Gerakan Rakyat Sabah (GRS). Namun, BN meminta peluang diberikan kepada kami untuk mewakili sebagai calon.
“Gerak kerja kami sudah usahakan untuk membantu rakyat Ranau mengikut kemampuan kami walaupun tidak mempunyai kuasa. Saya sudah menawarkan diri sebagai calon untuk mewakili BN. Sekiranya dicalonkan, saya sudah bersedia untuk hadapi PRU15,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Terdahulu, MEDIA VARIASI melaporkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ranau, Vennex Jasmin menawarkan diri untuk bertanding mewakili Barisan Nasional di Parlimen Ranau pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Pengumuman tawaran itu dibuat Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Parlimen 179 pada 10 Oktober lalu.