HomeBeritaKelucahan melampau dalam surau, boleh dipenjara sehingga dua tahun

Kelucahan melampau dalam surau, boleh dipenjara sehingga dua tahun

KUALA LANGAT: Polis sedang menyiasat berhubung kejadian tular berkenaan dua lelaki melakukan perkara tidak senonoh di dalam surau yang dirakamkan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat mengesan video berdurasi satu minit 49 saat itu di media sosial.

Menurutnya, pihaknya menerima satu laporan polis pada Rabu jam 9.07 malam daripada seorang bilal di surau berkenaan berumur 54 tahun, mengatakan telah melihat rakaman CCTV terdapat dua lelaki tempatan melakukan aksi tersebut.

“Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan bagi mengesan pelaku dalam rakaman CCTV terbabit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan kelucahan melampau di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun,” katanya.

Pihak polis juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pelaku di dalam kes ini, tampil membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Norhidayah Mohd di talian 017-4055363 / 03-31872222.

Author

Pilihan Editor