HomeBeritaPolitikPRU15: Peratusan pengundi dijangka tidak akan tinggi seperti PRU14

PRU15: Peratusan pengundi dijangka tidak akan tinggi seperti PRU14

CYBERJAYA: Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti dijangka tidak akan mencapai jumlah keseluruhan yang keluar mengundi seperti PRU14 lalu.

Penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, peratusan keluar mengundi akan menjadi indikator penting yang ditentukan oleh pengundi muda.

“Mereka yang setia kepada parti tidak akan lihat kepada apa-apa musim sekalipun dalam pelaksanaan pilihan raya. Mungkin yang golongan muda akan membuat keputusan sama ada mahu keluar mengundi atau tidak.

“Saya jangkakan kita akan melihat peratusan yang akan keluar mengundi PRU15 tidak akan setinggi pada tahun 2018 (PRU14). Akan ada beberapa kekangan.

“Mungkin akan wujud kesinambungan kelesuan politik di PRN Johor dan Melaka. Ini kerana isu yang diutamakan kekangan keterlibatan hidup seperti kenaikan kos sara hidup, kenaikan mata wang asing, integriti politik, kelangsungan hidup mereka yang akan menentukan keputusan mereka untuk keluar mengundi nanti,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Tambahnya, tarikh dan waktu diadakan pilihan raya juga memainkan peranan penting yang akan mempengaruhi peratusan keluar mengundi. Parti pemerintah memainkan peranan penting dalam menentukan waktu membuang undi berdasarkan peruntukan kuasa yang ada pada kerajaan.

“Sebagai parti pemerintah akan mempunyai kelebihan dalam menentukan tarikh pilihan raya. Waktu itu penting.

“Mungkin juga itu satu kesilapan seperti yang dilakukan pada tahun 2018 (PRU14). Mungkin salah membaca perkiraan ketika itu tidak mahu mengulangi perkara seperti itu kerana kelebihan yang ada pada mereka di mana Perdana Menteri adalah dari parti UMNO,” jelasnya lagi.

Jumlah peratusan keluar mengundi pada PRU14 lalu adalah sebanyak 82.32 peratus membabitkan seramai 12,229,514 orang daripada 14,940,624 pengundi yang berdaftar.

Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) juga menetapkan pada hari Rabu (9 Mei) sebagai hari pengundian bagi PRU14.

Author

Pilihan Editor