CYBERJAYA: Kerajaan Selangor mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 untuk tempoh sehingga hujung tahun ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin berkata, pendirian itu dimuktamadkan selepas beliau selesai menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, hari ini.
Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu lagi, pihak kerajaan negeri menyembah maklum nasihat baginda agar berjalan seperti biasa dalam memberi fokus utama terhadap kesejahteraan rakyat iaitu situasi banjir, pemulihan ekonomi dan persiapan pembentangan Belanjawan 2023.
“Pagi ini saya telah menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam dalam sesi menghadap berjadual.
“Saya telah menyembah maklum komitmen dan persiapan Kerajaan Negeri dalam mendepani kemungkinan situasi banjir di Selangor, usaha pemulihan ekonomi, bantuan kebajikan, serta persiapan Belanjawan Selangor 2023 yang akan dibentangkan dalam sesi Dewan Negeri Selangor pada tahun ini.
“DYMM Tuanku berkenan agar pentadbiran sekarang diteruskan untuk memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tiga negeri yang berada di bawah pentadbirannya iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan dibubarkan serentak dengan Parlimen.
Keputusan itu dibuat untuk memberi fokus terhadap permasalahan rakyat seperti musim banjir dan pemulihan ekonomi.