SHAH ALAM: Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) berjaya mengesan cubaan penipuan urusniaga tanah yang menggunakan nama PTGS, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) negeri Selangor sehingga melibatkan nama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
PTGS berkata dalam kenyataan pada Khamis, laporan Polis telah dibuat bagi kes-kes yang telah dikenal pasti agar tindakan tegas boleh diambil bagi sebarang penipuan jenayah ini.
“Modus operandi yang digunakan ialah dengan penyamaran sebagai orang yang dilantik berurusan dengan PTGS dan mana-mana PDT. Pihak terbabit juga mengeluarkan notis untuk menjual hartanah dan telah memalsukan
tandatangan pada notis tersebut.
“Terdapat juga pihak yang menggunakan nama pegawai-pegawai kanan dan tertinggi PTGS dan PDT yang masih berkhidmat mahupun telah berpencen dengan memberikan maklumat dan janji-janji palsu bagi urusan jual beli tanah,” katanya.
PTGS mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan kegiatan sindiket penipuan ini dan menasihatkan beberapa langkah mengelakkan tertipu.
Antaranya ialah memastikan kewujudan tanah melalui daftar pelan yang sah; membuat semakan berkaitan pemilikan (tuan punya tanah) melalui carian di PDT berkaitan atau PTGS; menyemak sekatan kepentingan; dan memastikan wakil mempunyai Surat Kuasa Wakil yang sah.
“Dengan ini, PTGS ingin menegaskan kepada orang awam bahawa PTGS tidak pernah melantik mana-mana individu mewakili Pentadbiran ini bagi sebarang urusan urusniaga hartanah,” katanya lagi.