HomeBeritaPemuda UMNO Ranau dekati pengundi muda, azam tawar peluang pekerjaan

Pemuda UMNO Ranau dekati pengundi muda, azam tawar peluang pekerjaan

CYBERJAYA: Pemuda UMNO Ranau kini sudah memulakan gerak kerja mendekati pengundi muda di kawasan Ranau bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) dengan memberi penerangan tawaran BN membawa peluang pekerjaan sekiranya kerusi Parlimen Ranau kembali menjadi milik BN.

Ketua Pemuda UMNO Ranau, Vennex Jasmin berkata, peluang pekerjaan di Ranau untuk anak muda amat terhad dan bergantung kepada aktiviti pertanian dan perniagan sendiri bagi menjana ekonomi.

Justeru, pemuda UMNO Ranau kini bergiat aktif dengan menyalurkan maklumat serta memberi penerangan kepada pengundi muda untuk membawa peluang pekerjaan di sektor awam dan swasta.

“Peluang pekerjaan untuk orang muda di Ranau amat terhad. Ramai anak muda yang baru tamat belajar di sekolah tidak mempunyai pekerjaan.

“Jadi Pemuda UMNO Ranau kini berazam untuk membantu golongan muda mendapatkan pekerjaan di agensi-agensi kerajaan termasuk sektor swasta bergantung kepada kekosongan,” katanya ketika dihubungi MEDIA VARIASI.

Jelas Vennex lagi, hasil gerak kerja Pemuda UMNO Ranau hingga ke peringkat umbi memberi penerangan kepada anak muda Ranau mendapat reaksi yang positif untuk menjayakan objektif Pemuda UMNO Ranau sekiranya kembali mendapat mandat pada PRU15 akan datang.

“Gerak kerja dan usaha Pemuda UMNO Ranau untuk membantu anak muda setakat ini berjalan baik walaupun kami masih tiada kuasa untuk memberi peluang kemasukan pekerjaan.

“Namun pengundi muda bersyukur setelah mendapat penerangan dari kami yang mereka melihat pemuda UMNO Ranau membawa harapan untuk mereka,” ujarnya lagi.

Author

Pilihan Editor