ANKARA: Ribut Tropika Julia pada Sabtu dilaporkan bertukar menjadi hurikan ketika melewati kepulauan Colombia dan menuju ke Nicaragua, lapor Agensi Anadolu.
“Banjir kilat dan banjir lumpur yang mengancam nyawa mungkin berlaku akibat hujan lebat melanda Amerika Tengah dan Selatan Mexico hingga awal minggu depan,” menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS).
Julia membawa angin kencang dengan kelajuan maksimum 120 km/j manakala pihak berkuasa memberi amaran taufan itu kini menuju ke arah barat dengan kelajuan 28 km/j dan dijangka mendarat di Nicaragua.
“Kami kini berada dalam keadaan berjaga-jaga. Taufan berkemungkinan mendarat di San Andres antara 7 dan 9 malam.
“Seluruh hotel mesti menyediakan ruang kemudahan untuk penduduk yang terdedah mendapat perlindungan,” kata Presiden Colombia Gustavo Petro menerusi Twitter.
Hurikan Iota sebelum ini pernah melanda kawasan itu pada November 2020 dan merosakkan 98 peratus infrastruktur di Pulau Providencia.
Julia dijangka melanda Nicaragua awal Ahad dan mengancam 800,000 penduduk manakala amaran kuning telah dikeluarkan di Colombia.
Pihak berkuasa merancang membuka 345 pusat perlindungan untuk lebih 68,000 penduduk di 205 kawasan kritikal yang terdedah kepada tanah runtuh dan banjir. – BERNAMA