PUTRAJAYA: Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Generational End Game (GEG) tidak memperuntukkan hukuman di bawah kesalahan jenayah kepada kanak-kanak bawah umur yang didapati merokok.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dakwaan pihak yang menyatakan RUU berkenaan telah menjenayahkan kanak-kanak merupakan persepsi yang mengelirukan kerana undang-undang sedia ada mengikut peraturan 11(1)(d) telah menetapkan kompaun RM50 terhadap perokok bawah 18 tahun di premis makanan.
Jelas Khairy lagi, di bawah peraturan sedia ada juga tidak mengenakan hukuman berat seperti penjara, tidak direkodkan atas kesalahan jenayah dan dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan bagi kanak-kanak bawah umur yang merokok di premis makanan oleh pihak penguatkuasa.
“Kompaun kepada orang bukan dewasa memang telah wujud di dalam peraturan sedia ada. Ini tidak boleh didaftar sebagai satu kesalahan jenayah.
“Tidak akan ada hukuman penjara bagi orang bukan dewasa merokok sekarang ini ataupun melalui undang-undang baru (RUU GEG) bagi mereka yang lahir selepas tahun 2007.
“Tidak ada rekod jenayah langsung, jangan kelirukan rakyat. Sekarang ini kalau kanak-kanak beli rokok, ada penguat kuasa yang kesan hanya akan dikompuan RM50, boleh bayar dan tidak perlu ke mahkamah. Sama seperti RUU GEG,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Portal KKMNow di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya, di sini hari ini.
Sebuah kumpulan NGO yang dikenali sebagai Generasi Penamat (GEG) telah membuat penyerahan memorandum bagi membantah pelaksanaan RUU GEG di hadapan Bangunan Parlimen pada pagi tadi.
Penyerahan tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tungau dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.