HomeBeritaKanak-kanak dua tahun maut terjatuh dari kerusi bayi

Kanak-kanak dua tahun maut terjatuh dari kerusi bayi

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari kerusi bayi di sebuah restoran di Taman Sutera, di sini petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Supt Fariz Ammar Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika kanak-kanak itu sedang makan bersama keluarganya di restoran berkenaan sebelum terjatuh lalu kepalanya terhentak di lantai.

“Siasatan awal polis mendapati keluarga itu datang ke restoran sejam sebelum kejadian, ketika sedang makan mangsa menolak meja menggunakan kakinya sehingga menyebabkannya terjatuh bersama kerusi bayi.

“Ketika terjatuh, kepala kanak-kanak itu terhentak pada lantai dan mangsa dikatakan menangis sebelum pengsan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu turut disaksikan pekerja restoran terbabit sebelum bapa kanak-kanak itu bergegas membawanya ke klinik swasta, namun dinasihatkan doktor untuk terus menghantar anaknya ke hospital berikutan keadaannya dilihat serius.

Menurutnya, bapa kanak-kanak itu kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas.

“Mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor