KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 150 orang terbunuh akibat konflik yang tercetus antara beberapa puak di tenggara Sudan sejak dua hari lalu, lapor Agensi Anadolu, memetik laporan media tempatan.
Sementara itu, puluhan yang lain cedera dalam pertempuran yang berlaku pada Rabu dan Khamis di Blue Nile, dan keganasan kembali tercetus pada Julai.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan dengan peningkatan keganasan di Lagawa & kebangkitan semula konflik di rantau Blue Nile.
“Keamanan yang berpanjangan tidak akan dapat dicapai tanpa kerajaan yang dipercayai dan berfungsi sepenuhnya serta mengutamakan keperluan rakyat tempatan termasuk keselamatan dan menangani punca konflik,” menurut Misi Bantuan Peralihan Bersepadu PBB di Sudan (UNITAMS) menerusi ciapan di Twitter.
Pertempuran itu adalah siri keganasan terbaru membabitkan pertelingkahan suku kaum yang melanda seluruh negara walaupun perjanjian damai seluruh negara ditandatangani dua tahun lalu.
Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021, apabila tentera menggulingkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat, satu tindakan yang dikecam ahli politik sebagai “rampasan kuasa tentera.” – BERNAMA