HomeSukanE-sukanSelangor Xtiv Esports 2022 raih hampir 2,000 penyertaan

Selangor Xtiv Esports 2022 raih hampir 2,000 penyertaan

SUNGAI BULOH: Selangor Xtiv Esports 2022 raih hampir 2,000 penyertaan pada hari pertama berlangsungnya program itu di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, pada Sabtu.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, program anjuran kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan itu diadakan bersempena Hari Selangor Bersukan pada 8 dan 9 Oktober.

Menurut beliau, kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk terus mendekati para belia dengan menumpukan kepada penganjuran program sukan elektronik yang semakin mendapat sambutan pada masa ini.

“Penganjuran program esports pada kali ini memfokuskan kepada permainan Player Unknown Battlegrounds (PUBG), permainan konsol PlayStation 4 (PS4) dan permainan simulasi Roblox yang khusus untuk kategori bawah 12 tahun.

“Program ini telah menerima hampir 2,000 penyertaan yang terdiri daripada belia dan juga para penggiat sukan elektronik serta menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM24,000,” kata Mohd Khairuddin.

Tambahnya, inisiatif ini bertujuan memastikan akar umbi tidak ketinggalan merasai pembangunan sukan, selain merealisasikan matlamat melahirkan pasukan-pasukan profesional yang akan mewakili Selangor dalam kejohanan-kejohanan besar e-sukan pada masa akan datang.

“Melalui penganjuran program ini, diharapkan para belia di Selangor terus kekal aktif melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang dapat membangunkan kapasiti diri mereka dan dijadikan satu peluang untuk menonjolkan bakat dan kreativiti yang mampu mengangkat mereka sebagai atlet pelapis e-sports Selangor kelak,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor