CYBERJAYA: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memperlihatkan banyak parti politik mempunyai misi untuk menarik dan meraih undi daripada pengundi atas pagar.
Pengundi atas pagar dikatakan mampu menentukan kemenangan sesebuah parti itu berdasarkan kadar pengundi ini yang akan turun mengundi pada tarikh PRU15.
Untuk mendapatkan penjelasan lebih mendalam mengenai pengundi atas pagar, MEDIA VARIASI menghubungi penganalisis politik, Dr Mazlan Ali bagi menerangkan siapa sebenarnya pengundi ini.
Terlebih dahulu beliau menerangkan beberapa terma dalam Sains Politik, berkenaan jenis pengundi yang terbahagi kepada tiga iaitu partisipan, subjek dan sempit.
Menurutnya, partisipan adalah terdiri daripada golongan berpendidikan, berkerjaya, tinggal di bandar, yang selalu bergerak misalnya peniaga-peniaga serta orang muda.
“Biasanya kumpulan partisipan ini, pemikirannya agak liberal, tidak terikat dengan perkauman dan isu-isu agama, lebih bebas, mereka tidak setia kepada parti, tidak sangat taasub kepada parti politik, biasanya mereka ada akses kepada internet,” katanya.
“Partisipan akan menyokong mana-mana parti yang menunjukkan penunjuk prestasi utama (KPI) yang bagus, yang buat kerja. Dia cenderung memilih calon, tidak kepada memilih parti, sebahagian besar partisipan ini adalah atas pagar,” katanya.
Seterusnya ialah subjek yang terdiri daripada pengundi yang cenderung mengekalkan status quo.
“Kalau dia penyokong BN, BN lah sampai bila-bila. Kalau PH, PH lah sampai bila-bila. Kalau penyokong PAS, PAS lah sampai bila-bila. Dia taat kepada parti, mana-mana parti letak calon dia akan sokong.
“Dia tak terpengaruh sangat dengan media sosial, dengan ceramah. Dia ini lebih kepada orang yang taat, majoritinya Melayu terutamanya Melayu FELDA, Melayu kampung, orang India ladang,” ujarnya.
Manakala kumpulan yang ketiga dipanggil kumpulan yang sempit terdiri daripada golongan yang kurang pendidikan dan miskin.
“Kalau yang duduk di bandar ini, mereka duduk di kawasan flat, kawasan-kawasan B40, kawasan-kawasan yang orang sosio-ekonominya tak bagus.
“Orang ni akan sokong berdasarkan imbuhan. Kalau orang bagi bantuan, wang, dia akan sokong.
“Antara tiga kumpulan ini, atas pagar ini kebanyakannya daripada partisipan,” jelas Mazlan.
Tambahnya, kebanyakan pengundi atas pagar ini tidak suka akan pemimpin yang selalu memberi janji manis dan hanya sekadar retorik, serta mereka akan menilai pemimpin berdasarkan isu-isu semasa.
“Kalau kita mampu untuk bercakap sesuatu yang berfakta, saya bagi contoh macam Rafizi Ramli punya gaya, cara dia huraikan fakta semua, orang atas pagar suka.
“Buktinya saya ada data analitik yang saya kesan dari media-media sosial, memang banyak penyokong, banyak orang-orang atas pagar sokong dia.
“Dan orang-orang atas pagar ni, pertama, dia akan tengok juga calon. Kalau calon itu rasuah dan banyak korupsi, dia tidak akan sokong. Calon itu main isu agama, sentimen agama, melaga-lagakan dari agama, dia akan marah,” katanya lebih mendalam mengenai pengundi atas pagar ini.
Memandangkan kebanyakan pengundi atas pagar ini mempunyai pemikiran yang liberal, dan tidak tegar kepada kaum dan agama, maka kesemua parti politik bertanding perlu memberi maklumat yang betul dan berfakta untuk menarik mereka.
Mazlan juga menjangkakan kadar turun mengundi bagi pengundi atas pagar pada PRU15 ini akan lebih tinggi didorong dengan akta anti lompat parti yang sudah dibentangkan dan diluluskan.
“Sebab sebelum ini kenapa mereka tak keluar? Sebab dia kata, ‘kalau saya pergi mengundi pun nanti mereka lompat parti pula’.
“Sebab itu di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, BN menang. Sebab kebanyakan orang atas pagar ini duduk di luar kawasan, dia kerja dan belajar di luar,” katanya lagi.