CYBERJAYA: Singapura menamakan satu spesies orkid hibrid sebagai ‘Dendrobium Queen Azizah of Malaysia’ bersempena dengan nama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Penamaan bunga itu berlangsung bersempena lawatan negara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah ke Singapura yang bermula semalam hingga 28 Oktober ini.
Seri Paduka berdua dipersembahkan nama baharu orkid itu pada Majlis Penamaan Orkid di Istana, Orchard Road pada Rabu.
Majlis berkenaan turut dihadiri Presiden Singapura, Halimah Yacob dan suami, Mohammed Abdullah Alhabshee.
Turut berangkat ke majlis berkenaan adalah Paduka anakanda Seri Paduka, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.
“Pada majlis tersebut, Seri Paduka Baginda berdua berkenan menyempurnakan nama bunga itu dengan menggantikan plak lama kepada plak baharu yang bertuliskan ‘Dendrobium Queen Azizah of Malaysia’.
“Bunga tersebut adalah hibrid orkid yang teguh dan bebas berbunga yang menghasilkan perbungaan separa tegak kira-kira 50cm panjang yang mengandungi lebih daripada 20 bunga tersusun cantik dan setiap bunga berukuran kira-kira 4.5cm lebar,” maklum jurucakap Istana Negara.