CYBERJAYA: Rezeki buat anak Malaysia apabila berjaya mencipta nama di negara orang.
Itulah yang diperolehi seorang anak muda, Syarifah Nur Alisya Syed Alwi, 21, yang dinobatkan sebagai penerima anugerah The F C Loughnan Price for First Year Geology di Sydney, Australia.
Khabar gembira itu dikongsi oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut MARA, Syarifah menerima AUD500 beserta sijil penghargaan dari University of New South Wales.
“Pelajar yang berasal dari Putrajaya ini merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Baling (2014 -2018) yang telah mendahului pelajar lain dari aspek pencapaian akademik serta paling cemerlang dari kalangan 100 pelajar lain yang mengikuti jurusan sama di universiti berkenaan.
“Atas kecemerlangannya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau telah ditawarkan penajaan MARA menerusi Program Young Talent Development Programme untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Bachelor of Advanced Science di University of South Wales,” tulisnya.
Sementara itu, Syarifah turut menzahirkan penghargaan terhadap para guru dan keluarganya yang banyak memberi sokongan serta sentiasa bersedia membantu untuk mencapai prestasi yang baik sehingga memperolehi anugerah itu.
”Peluang melanjutkan pelajaran yang diberikan oleh MARA akan digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan martabat bangsa dan negara kelak,” ujarnya.
The F C Loughnan Price for First Year Geology merupakan satu anugerah yang diberikan kepada pelajar tunggal yang memperolehi pencapaian cemerlang dalam jurusan akademik Bachelor of Advanced Science oleh University of New South Wales.