LONDON: Kajian pengurus pelaburan amal British CCLA mendedahkan sesebuah organisasi mudah kerugian jika mengabaikan tahap kesihatan mental pekerja.
Ketua Pengawasan CCLA, Amy Browne berkata, berdasarkan bukti kajian, jelas ia juga sangat memberi implikasi kewangan jika tiada tindakan sedemikian.
Katanya, kebanyakan syarikat global dikenal pasti ketinggalan ketika penilaian bagi mengintegrasikan kesihatan mental ke dalam sistem dan proses pengurusan formal dilaksanakan.
“Kajian pengurus pelaburan amal British CCLA mendedahkan hanya tiga daripada 20 syarikat menerbitkan objektif pengurusan kesihatan mental pekerja, walaupun ada bukti jelas ia boleh menjimatkan wang.
“Penanda aras CCLA yang menilai 100 firma terbesar di dunia, menunjukkan tiada pengiktirafan bagi kesihatan mental pekerja sebagai isu perniagaan penting serta komitmen awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, ia mungkin berlaku berikutan tiada kekurangan mengenai inisiatif kesihatan mental di tempat kerja antarabangsa.
Browne menganggarkan kerugian bernilai AS$36 bilion (RM167.4 bilion) setiap tahun, akibat penyakit mental, jika 100 syarikat dalam Penanda Aras Kesihatan Mental Korporat CCLA Global 100 menggaji hampir 19 juta orang di seluruh dunia.
CCLA berkata, ekoran lonjakan inflasi dan krisis kos sara hidup di seluruh dunia, 82 peratus daripada syarikat korporat sudah mengambil pendirian jelas mengenai hubungan antara kesihatan mental, gaji dan kesejahteraan kewangan.
Bagaimanapun, kurang satu pertiga daripada mereka berkongsi dasar rasmi yang mengiktiraf kaitan itu dengan jelas.
Sementara itu, Ketua Prinsip Pelaburan Bijak disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), David Atkin berkata, hasil penanda aras CCLA menunjukkan kesihatan mental ‘adalah isu perniagaan yang masih belum matang’.
CCLA menyebut, Deloitte, antara firma perakaunan ‘Big Four’, pada 2020, melaporkan purata kos bernilai AS$1,900 (RM8,529.41) kesihatan mental di tempat kerja bagi seorang pekerja swasta setiap tahun.