CYBERJAYA: Keputusan negeri pimpinan pembangkang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Parlimen dibubarkan hanya akan membebankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata kepada MEDIA VARIASI pada Khamis, pembubaran Parlimen tidak semestinya diikuti dengan pembubaran DUN.
Menurutnya, ini kerana kuasa membubarkan Parlimen itu adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) manakala kuasa membubarkan DUN adalah kuasa sultan atau pun Yang di-Pertua (YDP) negeri setelah diberi nasihat oleh Menteri Besar atau pun Ketua Menteri masing-masing.
“Pelaksanaan pilihan raya di negeri-negeri tersebut adalah di peringkat Parlimen sahaja tetapi tidak berlaku di peringkat DUN, mungkin SPR terpaksa menambah kos.
“Sebab terpaksa buat dua kali, pilihan raya Parlimen dan selepas DUN dibubarkan pada masa akan datang, mungkin tahun depan contohnya, maka tahun depan kena buat lagi Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya.
Tambah beliau, selain itu, parti politik juga boleh memberi fokus kepada pilihan raya Parlimen sahaja, dan parti yang menguasai negeri itu boleh mengatur strategi kempen untuk masa yang lebih panjang dan akan datang.
“Dari segi implikasi undang-undang tidak ada masalah, pembubaran berbeza antara Persekutuan dengan negeri itu adalah lazim berlaku terutama di negeri Sarawak satu ketika dahulu, termasuk juga Sabah,” katanya lagi.