HomeBeritaAziz Kaprawi akui Ahmad Zahid komando politik

Aziz Kaprawi akui Ahmad Zahid komando politik

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat memiliki kemampuan ‘in command’ sehingga semua pihak akur dengan hala tuju layar bahtera yang dikemudinya.

Sebagai nakhoda bahtera parti tertua di Tanah Melayu iaitu Barisan Nasional (BN), sepanjang 40 tahun dalam dunia politik beliau sudah kalis berhadapan ‘serangan’ dari semua penjuru.

Itulah yang sedang berlaku apabila setiap hari beliau menjadi sasaran lensa di media atas talian mahupun arus perdana sementelah desas-desus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan tahun ini juga.

Ketegasan beliau itu bukanlah satu perkara baharu, sama ada ketika beliau memiliki jawatan dalam kerajaan atau tidak, pencapaian tetap mampu dicapai.

Antara jasanya adalah mewujudkan Pasukan Taktikal STAGG STAFOC STING bagi membanteras jenayah judi dan gangsterisme, berjaya mengekang pencerobohan Sulu di Lahad Datu dan perlaksanaan sistem parol sehingga jenayah berulang turun dengan mendadak.

Beberapa pencapaian UMNO turut dicapai walaupun tanpa kedudukan dalam kerajaan, Ahmad Zahid selaku presiden masih memberi aura kemenangan pada tujuh pilihan raya kecil dan kemenangan besar pada pilihan raya mengejut di Melaka dan Johor.

Di bawah kepimpinan beliau juga, pentadbiran negara berjaya dikembalikan kepada BN setelah 39 bulan hilang kuasa dengan meletakkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Menerusi tinjauan alam maya daripada pelbagai portal berita mengenai perihal tokoh politik, nama Ahmad Zahid antara teratas sama ada menerima kecaman atas persepsi tamak kuasa dan lain-lain.

Dalam kerancakan tohmahan ini, mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Ab Aziz Kaprawi meluangkan masa menzahirkan pendapat berbeza mengenai sisi Ahmad Zahid yang tidak diketahui umum.

Ab Aziz

Beliau berkata, ciri kepimpinan Ahmad Zahid disifatkan sebagai ‘man in command’ terserlah apabila ketegasannya bersama suara akar umbi yang mahukan perubahan dapat dilaksanakan segera menerusi PRU yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.

“Sebagai pejuang UMNO, beliau adalah komando politik yang memiliki kekuatan dan stamina yang tinggi dalam mempertahankan hak Melayu dan agama Islam di tanah air.

“Tiada siapa yang tahu ‘hubungan istimewanya dengan Allah’ sehingga beliau berjaya lepaskan diri daripada fitnah dan tohmahan yang dahsyat dan masih teguh mengemudi pertubuhan terbesar Melayu di Malaysia.

“Ia sisi diri Ahmad Zahid yang tidak dilihat secara umum, dan kekuatan ini mengatasi parti-parti lawan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau yang juga mantan Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, figura ini sentiasa berserah diri pada Allah tatkala diuji dengan fitnah, “ditelanjangkan, dimalukan oleh mahkamah netizen”, namun mempunyai kekuatan luar biasa dalam memperkasakan hal agama dan menumpukan perjuangan parti secara serentak.

“Namun manusia punya asa Tuhan punya kuasa, hikmah terbesar yang boleh dipelajari daripada semua episod kehidupan ini adalah kuasa dan ketetapan Allah mengatasi segala-galanya.

“Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya, begitulah Ahmad Zahid sebagai contoh pemimpin yang sentiasa pasrah, yang mana staminanya tinggi, hasil pegangan agamanya ketika berdepan cabaran dan ujian.

“Hikmahnya, kita sentiasa balik kepada ajaran sebenar Islam iaitu penyerahan diri sepenuhnya kepada Tuhan Yang Esa,” katanya.

Author

Pilihan Editor