KUALA LUMPUR: Isu rakyat Malaysia terkandas di luar negara kini bukan perkara asing. Jika sebelum ini, negara digemparkan dengan rakyat Malaysia tidak mampu kembali ke tanah air selepas menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan sindiket pekerjaan antarabangsa, kini timbul pula kisah rakyat Malaysia terpedaya dengan kisah ‘Pak Habib’.
Kira-kira 29 mangsa daripada lima keluarga termasuk bayi satu tahun, terkandas di Madinah sejak Julai lalu, selepas diperdaya dengan berita kemunculan Imam Mahadi di padang Arafah.
Rombongan itu diuruskan oleh pemimpin tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad.
Masalah mereka timbul selepas Habib Shah Firdaus ditahan kerajaan Arab Saudi dipercayai kerana fahaman bertentangan dengan Islam serta dihantar pulang ke Malaysia.
MEDIA VARIASI berjaya menghubungi rakyat Malaysia yang bekerja di syarikat kawalan kewangan di Jeddah, Muhammad Ismail untuk mengetahui lebih lanjut isu ini.
Beliau merayu mana-mana ahli politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu keluarga terbabit.
“Saya sangat berharap ada NGO atau pihak lain yang sudi tampil membantu mereka, kerana mereka sudah terkandas lama sejak tiga bulan lalu.
“Mereka tidak dapat pulang kerana gagal menjelaskan wang denda tinggal lebih masa, selepas terpedaya dengan dakwaan Habib Shah Firdaus kononnya Imam Mahdi akan muncul di Arafah,” katanya.
Muhammad berkata, pada awalnya kesemua mangsa terpaksa tinggal di Masjid Nabawi dan mengharap ehsan wang dan makanan daripada orang ramai yang memberi bantuan.
Bagaimanapun, dilaporkan mereka kini berada sementara di kediaman Konsulat Malaysia di Jeddah.
Mengulas lanjut, katanya, mereka ke sana menggunakan visa pelancongan, yang mana pihak berkuasa tidak akan menahan tetapi perlu membayar denda tinggal lebih masa sebelum dibenarkan pulang.
“Berbeza dengan visa umrah dan haji, jika tinggal lebih masa akan ditangkap pihak berkuasa dan terus dihantar pulang,” katanya.
Justeru, bagi sesiapa yang mahu tampil membantu, boleh hubungi Konsulat Malaysia di Jeddah atau kedutaan Arab di Malaysia.
Dalam perkembangan sama, pemimpin tarekat berkenaan, dipercayai sudah berada di negara ini, sejak 21 Ogos lalu, berdasarkan laporan media pada 8 September 2022.
Namun anehnya, belum ada sebarang perkembangan berhubung status keberadaan pemimpin tarekat terbabit, sehingga kini.
Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) pula menutup pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus yang beroperasi di Kampung Jawa, Labu susulan aduan tarekat terbabit melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dilaporkan sebelum ini bersetuju menubuhkan Tabung Kemanusiaan, Selamatkan Rakyat Malaysia.
Ia bertujuan bagi membantu menguruskan logistik mangsa selepas diselamatkan sehinggalah melunaskan kompaun tinggal lebih masa kepada imigresen negara terlibat, dan seterusnya berlepas pulang ke tanah air.
Pengumuman penubuhan tabung kemanusiaan itu sebelum ini untuk membantu menguruskan logistik mangsa pemerdagangan manusia sama ada di Laos, Kemboja ataupun Myanmar, yang berjaya melarikan diri sebelum pulang ke negara ini dengan selamat.