HomeSukanE-sukanPenyertaan 1,500 orang, ‘LEVEL UP KL 2022’ perkukuh e-sport Malaysia

Penyertaan 1,500 orang, ‘LEVEL UP KL 2022’ perkukuh e-sport Malaysia

KUALA LUMPUR: ‘LEVEL UP KL 2022’ atau Persidangan Pembangun Permainan Asia Tenggara yang berlangsung dari 4 hingga 7 Oktober 2022 dilihat mampu memperkasa industri permainan video digital (e-sport) Malaysia ke arah hab permainan serantau.

Menurut kenyataan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Khamis, acara anjuran mereka ini diadakan setiap tahun dan kali ini diadakan secara fizikal melibatkan seramai 1,500 peserta, 80 penceramah serta lebih 100 pempamer dari seluruh dunia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ‘LEVEL UP KL 2022’ merupakan komitmen kerajaan mewujudkan dan memperkasa Malaysia sebagai peneraju ekosistem permainan video digital bertaraf dunia di Asia Tenggara.

“Acara ini akan mempamerkan potensi bakat dalam industri permainan Malaysia kepada pemain antarabangsa, mewujudkan peluang untuk perkongsian dan pelaburan masa depan dari serata dunia,” kata Annuar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts Mahadhir Aziz menyatakan bahawa acara kali kelapan penganjurannya ini selari dengan inisiatif strategik nasional yang dilancarkan baru-baru ini iaitu Malaysia Digital (MD).

Tambahnya, acara ini bertujuan menggalakkan dan menarik bukan sahaja syarikat, tetapi juga bakat dan pelaburan.

“Ini secara tidak langsung membolehkan perniagaan Malaysia dan masyarakat diangkat sebagai pameran utama dalam ekonomi digital di peringkat global dan akan terus menarik perhatian menerusi ucaptama dari pakar dan pempengaruh, perbincangan bersama-sama pemain industri serta pelbagai peluang kolaborasi yang menarik,” kata Mahadhir.

Menerusi acara ini, MDEC juga akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam industri permainan dengan syarikat permainan yang berpangkalan di Arab Saudi, Nine66; studio permainan tempatan, Magnus Games Studio; dan SEA Gamer Mall (SEAGM).

Untuk rekod, e-sport di Malaysia menjadi antara industri paling pesat berkembang dalam sektor ekonomi digital.

“Justeru, ‘LEVEL UP KL 2022’ akan terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau dengan mewujudkan ekosistem kandungan digital yang kondusif, inklusif dan berdaya saing di peringkat global,” jelas MDEC dalam kenyataannya.

Author

Pilihan Editor