HomeSukanUCL: Liverpool belasah Rangers 7-1, Salah ledak hatrik

UCL: Liverpool belasah Rangers 7-1, Salah ledak hatrik

LIVERPOOL berpesta gol dengan menjadikan pasukan dari Scotland, Glasgow Rangers sebagai mangsa belasahan jaringan besar 7-1 dalam perlawanan keempat saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/2023 di Stadium Ibrox, awal pagi tadi.

Jaringan pasukan kendalian Jurgen Klopp dicetuskan bintang sensasi mereka, Mohamed Salah yang menjaringkan hatrik dalam tempoh enam minit selepas dimasukkan pada babak kedua perlawanan.

Juara edisi kejohanan pada 2018/2019 itu dikejutkan dengan jaringan awal Glasgow Rangers melalui Scott Arfield yang menghadiahkan gol pertama buat pasukan dalam saingan UCL musim ini.

Pesta gol Liverpool dilengkapi melalui dua gol Roberto Firmino, satu gol Darwin Nunez dan jaringan gol ketujuh disudahkan oleh Harvey Elliot untuk memastikan tiga mata penuh diraih dengan bergaya.

Kemenangan besar yang diraih pada perlawanan ini meletakkan Liverpool berada di kedudukan kedua dalam saingan kumpulan A dengan jumlah sembilan mata di belakang pendahulu, Napoli yang kini dengan 12 mata dalam empat perlawanan.

Kedudukan ketiga dihuni oleh Ajax mengumpul tiga mata sementara Rangers gagal meraih sebarang mata dengan kekalahan empat perlawanan berturut-turut.

Skuad The Reds sudah semestinya meraih tonik penting dengan kemenangan ini sebelum menghadapi pertempuran blockbuster menentang Manchester City pada hujung minggu ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris setelah dikecewakan pasukan The Gunners dengan kekalahan 3-2 di Stadium Emirates, Ahad lalu.

Author

Pilihan Editor