CYBERJAYA: Universiti Malaya (UM) masih kekal mendahului 22 institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia dalam senarai Kedudukan Universiti Dunia tahun ini yang dikeluarkan Times Higher Education (THE) pada Rabu.
UM kekal pada kedudukan teratas dalam kalangan universiti Malaysia, dengan kedudukan 351-400 dalam senarai membabitkan 1,799 universiti dari 104 negara itu.
Kedudukan itu, bagaimanapun menyaksikan kedudukan UM jatuh sedikit berbanding tahun lalu, yang ketika itu berada pada kedudukan 301-350.
Ketua Pegawai Pengetahuan THE, Phil Baty berkata, agak membimbangkan apabila negara ASEAN lain ketinggalan dalam persaingan global, walaupun Singapura disifatkan semakin berkembang cemerlang dalam pendidikan tinggi.
“Walaupun Vietnam mengekalkan kedudukan universiti terkemukanya, UM sebagai universiti utama Malaysia telah terkeluar daripada 350 teratas dunia, Universiti Filipina telah terkeluar daripada senarai 800 teratas dunia, dan Universiti Indonesia telah terkeluar daripada 1,000 teratas dunia.
“Beberapa universiti terkemuka Thailand juga telah tergelincir,” kata Baty dalam kenyataan akhbar.
Baty berharap kerjasama dan integrasi yang lebih erat dalam pendidikan tinggi dan penyelidikan di seluruh ASEAN dan pengaruh status peneraju dunia Singapura sebagai hab global untuk kecemerlangan penyelidikan akan membawa kepada kebangkitan universiti di rantau ini.
Untuk rekod, Singapura mempunyai dua universiti dalam senarai kedudukan itu, kedua-duanya disenaraikan dalam 50 teratas dunia iaitu Universiti Nasional Singapura di tempat ke-19 dan Universiti Teknologi Nanyang di tempat ke-36.
China pula mempunyai 95 universiti dalam senarai; Indonesia dan Thailand masing-masing mempunyai 18, diikuti enam dari Vietnam dan empat dari Filipina.
Jumlah universiti Malaysia yang tersenarai dalam kedudukan itu pula menunjukkan peningkatan tahun ini berbanding hanya 18 universiti awam dan swasta berada dalam kedudukan berkenaan tahun lalu.
Empat penambahan baharu dalam kedudukan itu ialah Universiti Sunway (801-1000), Universiti Malaysia Pahang (801-1000), Universiti Malaysia Kelantan (1201-1500) dan Universiti Malaysia Sabah (1501+).