SEOUL: Samsung Electronics Co pada Jumaat berkata keuntungan operasi awal suku ketiganya merosot hampir 32 peratus berbanding tahun sebelumnya, susulan kekangan ekonomi makro yang melemahkan permintaan pengguna ke atas peranti elektronik, lapor Yonhap.
Pembuat cip memori dan telefon mudah alih terbesar dunia itu berkata keuntungan operasinya bagi tiga bulan berakhir September diunjur mencecah 10.8 trilion won (AS$7.7 bilion), turun 31.7 peratus berbanding  15.82 trilion won dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Angka itu merupakan keuntungan suku ketiga terendah sejak 2019. Keuntungan suku ketiga pada tahun lepas berjumlah 7.78 trilion won. Ia juga menandakan penurunan tahunan pertama keuntungan suku ketiga Samsung dalam tempoh tiga tahun.
Keuntungan operasi adalah 8.3 peratus lebih rendah daripada anggaran purata, menurut tinjauan oleh Yonhap Infomax, firma data kewangan Yonhap News Agency.
Jualan meningkat 2.7 peratus kepada 76 trilion won. Data mengenai keuntungan bersih bagaimanapun tidak dinyatakan.
Syarikat itu akan mengeluarkan laporan pendapatan terakhirnya pada akhir bulan ini.
Industri cip global telah mengalami kemelesetan kitaran, yang diburukkan lagi oleh isu makro utama di seluruh dunia. – BERNAMA