SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini membuka permohonan bagi bantuan pendidikan melalui Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) untuk sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Dalam kenyataan hari ini, LZS memaklumkan sebanyak RM20 juta agihan zakat diperuntukkan bagi bantuan pendidikan umat Islam di negeri itu dan orang ramai boleh membuat permohonan di laman sesawang www.zakatselangor.com.my/spzas sehingga 3 Disember ini.
“SPZAS adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun,” menurut lembaga itu.
LZS memaklumkan pendapatan seisi rumah pemohon hendaklah melebihi haddul kifayah iaitu garis kecukupan bagi penentuan sebagai asnaf, namun jumlah lebihan tersebut tidak melebihi nilai maksimum RM11,000.
Menurutnya setiap permohonan SPZAS sekolah rendah dan menengah akan menerima bantuan bergantung kepada jumlah tanggungan pada kadar RM200 seorang dan bagi permohonan SPZAS IPT akan menerima bantuan sebanyak RM700 hingga RM2,500.
Bagaimanapun, asnaf fakir, miskin dan mualaf yang menerima tajaan pendidikan daripada LZS tidak boleh memohon bantuan terbabit dan boleh merujuk ke cawangan LZS yang berhampiran atau penolong amil kariah bagi memohon bantuan pendidikan sekiranya memerlukan, jelasnya.
SPZAS diperkenalkan bertujuan membantu meringankan beban golongan bukan asnaf (fakir, miskin dan mualaf), khususnya dalam kelas B40 serta M40 yang memerlukan bantuan bagi menampung keperluan pendidikan menggunakan peruntukan di bawah asnaf fisabilillah.- BERNAMA