CYBERJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Khamis.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Samsuddin berkata, Seri Paduka akan meminta pandangan Raja-Raja mengenai pembentukan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri ke-10.
“Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini adalah bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejateraan negara dan rakyat.
“Rakyat telahpun membuat keputusan untuk memilih wakil mereka. Maka, terserah kepada wakil rakyat untuk mencari penyelesaian bagi mengundi kemelut yang membelenggu rakyat jelata,” tulisnya dalam kenyataan Istana Negara hari ini.
Justeru, Seri Paduka turut menyeru agar seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqamah dan bertenang sehingga proses untuk membentuk kerajaan baharu selesai.
“Sesungguhnya, masa depan negara tumpahnya darah kita adalah terlalu berharga dan wajar kita rencanakan dengan penuh cermat serta teliti,” katanya.