HomeMV+PendapatAdakah 'Kerajaan Penderhaka' akan berulang?

Adakah ‘Kerajaan Penderhaka’ akan berulang?

SI KITOL merupakan seorang pembelot dan punca kepada kehancuran Kesultanan Melayu Melaka.

Dalam buku Sejarah Melayu, si Kitol membuat fitnah hanya ingin melepaskan dirinya sahaja, menggadaikan masa depan Melaka kepada Portugis dengan memecah belah permusuhan umat.

Begitulah sejarah yang tercatit apabila anak cucu bertanya bagaimana Melaka hilang kuasa? Kenapa sehingga hari ini Melaka tidak beraja?

Mungkin ramai sudah lupa, mantan Perdana Menteri Malaysia kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menunjukkan sikap biadap dan derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Agong menzahirkan rasa amat dukacita, dan memaklumkan kerajaan ketika itu telah membatalkan semua ordinan darurat sedangkan belum lagi mendapat perkenan Seri Paduka, tindakan ini bertentangan dengan perlembagaan negara dan dilihat tidak menghormati institusi Raja Berpelembagaan.

Tindakan Muhyiddin itu menimbulkan kekeliruan yang disengajakan sehingga rakyat salah anggap terhadap Agong berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat melalui kenyataan media, ternyata hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Agong.

Tindakan Muhyiddin yang digelar Abah itu dikatakan untuk memastikan beliau kekal berkuasa, dengan menggantung Parlimen dan beliau juga melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau meletakkan jawatan PM pada Ogos 2021 setelah kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri keenam pernah memecat Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana didakwa bersikap ‘tikam belakang”, hipokrit dan berkomplot dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkannya.

Perkara ini diakui oleh anak Tun M sendiri iaitu Datuk Seri Mukhriz di dalam kamar mahkamah pada tahun 2017.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, 19 November lalu, apabila semua parti politik gagal mendapat kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dititah menghadap Agong.

Bagaimanapun selepas sesi menghadap Agong pada 22 November, Muhyiddin dengan “angkuh”nya menolak cadangan Seri Paduka menubuhkan kerajaan perpaduan bersama PH.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Puad Zarkashi membidas sikap derhaka Pengerusi PN itu seperti menyalahkan Istana yang menyatakan Surat Akuan Sumpah (SD) itu tidak lengkap.

Serentak itu, Puad mencabar Muhyiddin mendedahkan nama 115 Ahli Parlimen yang telah menandatangani SD tersebut.

PN membawa tema Bersih, Stabil mahu perangi rasuah tetapi Abah sendiri dikaitkan dengan peruntukan RM4 bilion Bestarinet YTL, RM912 juta sistem biometric kepada menantunya.

Beliau juga dikatakan memanipulasi fakta tiga kali pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa kerajaan di bawahnya, sebenarnya adalah disebabkan desakan UMNO bukan disebabkan keputusannya.

Pemimpin UMNO iaitu Najib, Asyraf Wajdi dan Isham Jalil telah membawa isu KWSP sebanyak tiga kali di Parlimen susulan rakyat berlapar sehingga wujud kempen Bendera Putih.

Pemimpin DAP, Lim Guan Eng pernah menyelar Muhyiddin sebagai punca kepada kempen Rakyat Jaga Rakyat atau Bendera Putih, rakyat kibar bendera kerana lapar.

Kempen Bendera Putih tahun 2021, bawah pemerintahan Muhyiddin didorong oleh rakyat di mana mereka bergelut tekanan kewangan di tengah pandemik COVID-19.

Berdasarkan perangkaan PDRM pada tahun 2021, sebanyak 336 kes bunuh diri dan juga sebanyak 631 pada tahun 2020 kes bunuh diri dilaporkan yang dikatakan berpunca daripada tekanan isu kewangan.

Anehnya dana negara RM600 bilion untuk menangani isu rakyat ketika PKP berkenaan tidak diketahui ke mana perginya.

Semua fakta di atas ini dikatakan menjadi punca kepada lebih ramai rakyat memilih parti politik selain PN untuk menjaga mereka dan negara.

Adakah pemimpin yang membudayakan politik dendam mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negara?

Bagi mengelakkan kemudaratan, kemungkinan semua parti perlu beri SD masing-masing agar tidak berlaku kisah si Kitol, pengkhianat, penderhaka kepada tanah air.

Sebelum PRU15, Muhyiddin mendakwa ini pilihan raya terakhir selepas 50 tahun memegang jawatan politik nasional dan katanya sudah berasa cukup memegang sebarang jawatan untuk memberi laluan kepada anak muda.

Author

Pilihan Editor