MELAKA: Ketua Srikandi Bersatu Melaka, Azalina Abdul Rahman mengumumkan peletakan jawatannya serta keluar parti serta-merta berkuat kuasa hari ini.
Beliau turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) Melaka, Ahli Jawatankuasa PN Malaysia, Setiausaha Srikandi Bersatu Malaysia dan Ketua Srikandi bahagian Jasin.
Mengikut jejak langkah Azalina termasuk Ketua Penerangan Srikandi Melaka, Rohani Ahmad, yang juga Setiausaha Kerja Penerangan Srikandi, serta 320 penggerak Srikandi di beberapa bahagian.
“Keputusan ini diambil selepas saya berasakan Bersatu tidak berlaku adil terhadap wanita pada Pilihan Raya Umum ke-15 berikutan jumlah calon golongan itu tidak sampai sembilan peratus daripada jumlah kerusi di Semenanjung.
“Calon wanita banyak diletak di kerusi bukan boleh menang… usaha memperkuat peranan wanita dalam politik ternyata hanya retorik semata-mata dan hal ini telah menjejaskan kepercayaan saya terhadap corak kepimpinan parti yang dilihat gagal mendengar suara dan memperkasa ahli partinya sendiri,’’ kata beliau.
Turut mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti ialah Timbalan Ketua bahagian Jasin, Mustaffar Ahmad dan beberapa kepimpinan lain bahagian sama.
“Hasrat Bersatu untuk mengangkat suara anak muda ke tahap lebih tinggi dilihat hanya retorik semata-mata… oleh itu, kami sebulat suara membuat keputusan untuk meletakkan jawatan secara beramai-ramai dan juga memberhentikan keahlian Bersatu serta-merta,’’ katanya.
Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub pula berkata Bersatu Melaka mengambil maklum peletakan jawatan dan keahlian beberapa anggota parti di negeri itu.
“Pemimpin datang silih berganti. Parti terbuka kepada sesiapa untuk sama-sama berjuang dalam Bersatu dan PN.
“Parti juga tidak menghalang dan memaksa sesiapa sahaja yang tidak mampu mengikut arus perjuangan parti hanya kerana parti tidak mampu memenuhi kehendak peribadi (mereka),” menurutnya dalam satu kenyataan. – BERNAMA