HomeMV+PendapatGong perang PRU15 dipalu, kuasa dikembalikan kepada rakyat

Gong perang PRU15 dipalu, kuasa dikembalikan kepada rakyat

GONG salah satu instrumen warisan sejarah yang memiliki fungsi tertentu seperti ketika pembesar mahu mengumumkan sesuatu, isytihar perang atau mengesahkan sesuatu seperti pertabalan atau perkahwinan.

Pada Sabtu, 5 November 2022, sekali lagi gong dipalu oleh semua parti politik dan pakatan mereka, mengisytiharkan perang demi perjuangan untuk parti, rakyat atau matlamat diri, hanya rakyat berhak menilainya.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 21.1 juta rakyat Malaysia, mewakili jumlah golongan lelaki dan wanita hampir sama memiliki kuasa menentukan siapa pemimpin pilihan mereka.

6.9 juta pengundi muda juta bakal memberi nilai tambah kepada setiap calon yang bertanding.

Jentera parti masing-masing dari akar, pokok, dahan, ranting, daun segalanya kini melipatgandakan usaha mereka untuk memastikan kemenangan pucuk pimpinan yang diyakini mampu memayungi masa depan mereka.

Gerak kerja seawal subuh sehingga ke tengah malam, malah boleh dikatakan hampir 24 jam kerja dilakukan, masih tidak cukup dan penat. Namun, pastinya kerahan tenaga itu berbaloi jika pilihan mereka tepat tidak tersalah langkah.

Meskipun ada yang kecewa pemimpin mereka tidak dinamakan, namun kekecewaan itu tidak lama kerana punya misi lebih besar daripada banjir, yang menentukan hala tuju negara selepas ini.

Senario PRU15 kali ini lebih menarik, pertambahan calon Bebas tanda demokrasi yang subur dan memberi amaran kepada parti politik autokratik.

Calon Bebas kali ini bukanlah calang-calang orangnya kerana ada di antara mereka yang namanya sudah dikenali ramai seperti bertukar portfolio daripada aktivis masyarakat kepada ahli politik iaitu, Kuan Chee Heng (Uncle Kentang), Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, (Cleopatra), peguam Siti Kassim di Parlimen Batu (Siti Rock) dan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Zaki Omar.

Muhammad Zaki Omar bersama Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan @ Toqqi

Buat pertama kalinya dalam sejarah sejak pilihan raya umum 2004, kerusi Parlimen P125 Putrajaya ditandingi dua orang calon Bebas.

Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua juga secara automatik dipecat daripada parti berkenaan susulan tindakannya bertanding atas tiket Bebas mencabar calon parti sendiri di kerusi Parlimen Batu dan menyaksikan pertembungan 10 penjuru.

Persaingan itu melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) sebagai penyandang, Perikatan Nasional (PN), BN,dan Warisan serta lima calon bebas.

PRU15 kali ini turut menyaksikan Tian Chua sekali lagi tampil berdiri teguh bersaing dengan P Prabakaran, individu yang dinaikkannya dalam pilihan raya umum lalu.

PKR mengekalkan Prabakaran di kerusi itu setelah Tian Chua dikaitkan dengan Azmin Ali yang berpaling tadah menjatuhkan kerajaan PH melalui Langkah Sheraton.

PRU kali ini juga menyaksikan barisan pimpinan tertinggi BN mempertaruhkan nasib mereka dengan meletakkan panglima perang mereka termasuk Datuk Asyraf Wajdi yang bukan calon tradisi atau anak tempatan di beberapa Parlimen pilihan.

Parti Bangsa Malaysia juga menyemarakkan lagi suasana pilihan raya apabila Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien, menggantung Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai ahli parti itu kira-kira tujuh hari sebelum penamaan calon, kedua-duanya dikatakan berdamai dan Zuraida kini calon Parlimen Ampang.

Untuk rekod, pada PRU14, Zuraida yang ketika itu Naib Presiden PKR berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Ampang dengan majoriti 41,956 undi dalam saingan empat penjuru atas tiket PKR.

Zuraida menyandang kerusi itu sejak 2008 dan pada 2020, beliau kemudiannya meninggalkan PKR bersama 10 ahli Parlimen lain sebelum menyertai Bersatu, namun tidak kekal sebelum keluar pula untuk menyertai PBM.

PN mempertaruhkan muka baru untuk Parlimen Setiawangsa iaitu Nurul Fadzilah Kamaludin bagi berentap dengan calon tradisi dari BN dan PKR.

Calon Perikatan Setiawangsa, Nurul Fadzilah Kamaluddin

Empat pakatan utama yang menjadi perhatian di Semenanjung iaitu BN, PH, PN dan GTA dengan penambahan calon bebas tanpa parti yang bakal diketahui nasib mereka oleh kuasa rakyat pada 19 November nanti.

Author

Pilihan Editor