PUCHONG: Kerjasama politik di atas dasar kepercayaan membentuk politik permuafakatan akan membawa kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Calon BN di Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, kerjasama serta membentuk semangat setiakawan bersama kesetiaan Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu merupakan model terbaik untuk diikuti pada PRU15 kali ini bagi meneruskan momentum kemenangan BN serta mendapat kembali sokongan rakyat.
“Pada tahun 2009, KIMMA telah membentuk politik permuafakatan bersama UMNO iaitu sebagai parti gabungan. Di sinilah bermula kerjasama UMNO dengan Barisan Nasional.
“Parti komponen BN yang lain pula, di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, KIMMA berganding bahu dengan MCA menerusi Presidennya, Wee Ka Siong, ramai ahli KIMMA turun di kawasan seperti Yong Peng, Paloh dan banyak lagi kawasan untuk membantu BN menakluk Johor.
“Hasilnya BN memperoleh kemenangan besar pada PRN Johor lepas, di mana terdapat di beberapa kawasan yang dimenangi BN kekuatan jentera KIMMA melebihi jumlah majoriti yang calon BN menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program bersama jentera pilihan raya Pusat Daerah Mengundi Seri Kembangan, di sini.
Jelas Presiden KIMMA itu lagi, model kerjasama politik yang dibina atas dasar setiakawan telah terbukti berjaya dan sekiranya diteruskan pada PRU15 yang kini sudah memasuki hari kelima kempen, BN mampu memenangi kerusi Parlimen Puchong.
“Inilah resipi kejayaan BN mendapat sokongan semula dari rakyat. Kesetiaan KIMMA di dalam gabungan sebagai Friends of BN, 45 tahun KIMMA menunggu, tidak pernah sekali pun kami menguggut keluar dari parti BN sekiranya tidak mendapat kerusi. Pada PRU14, selepas BN tewas, daripada 14 komponen parti, 10 telah keluar dari BN. Empat parti masih setia dan salah satunya adalah KIMMA.
“Perpaduan dan kepercayaan membentuk politik permuafakatan ini perlu diteruskan pada PRU15 ini untuk kita menang di Puchong,” jelasnya.