HomeBeritaPolitikRakyat tolak kerajaan lemah, BN diyakini kembali berkuasa - Mutalif

Rakyat tolak kerajaan lemah, BN diyakini kembali berkuasa – Mutalif

DAMANSARA:  Rakyat hanya mahu kestabilan negara dan kesejahteraan mereka terbela, yang tentunya bukan daripada kerajaan yang lemah dan menipu.

Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim berkata, mereka sudah cukup pengalaman untuk menilai apa yang berlaku setelah negara ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, kemudian Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan.

Menurutnya, tempoh berkenaan cukup sebagai indikator keupayaan mereka yang menyebabkan sokongan rakyat beralih kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Melaka dan Johor.

“Rakyat juga telah menilai tiada satu parti yang dominan membentuk kerajaan yang menyebabkan kestabilan politik sukar dikembalikan,  pelabur besar luar negara satu demi satu mengalih pelaburan mereka keluar dari Malaysia.

“Keadaan ekonomi terus merundum yang mendesak penyelesaian segera dibuat iaitu pembubaran Parlimen,” katanya.

Mutalif berkata, rakyat secara keseluruhan kini sudah matang menilai parti mana layak meneruskan perjuangan kestabilan politik yang sudah tentunya berdasarkan ‘track record’ pentadbiran.

Beliau berkata, BN tumbang pada PRU14 lalu hanya semata-mata doktrin fitnah dan tohmahan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang direka-reka pihak lawan terutama ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Akhirnya mereka (pengundi) tahu selama 22 bulan PH mentadbir sebenarnya gagal, janji petrol murah, hapus PTPTN, hapus tol hanya tinggal janji sahaja, yang menyebabkan keyakinan rakyat semakin hilang.

“Ibarat pepatah Inggeris, ‘You can lie to someone once, but you cannot take them twice’, pisang tidak akan berbuah dua kali,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Mutalif yakin, rakyat melihat hanya Barisan Nasional (BN) mampu memberi jaminan ke arah kestabilan politik, ekonomi dan kesejahteraan negara.

“Rakyat sudah nampak hanya BN parti ‘Walk the talk” boleh beri kestabilan dan kesejahteraan, bukan parti yang bergerak tabur gula-gula, fitnah.

“BN perjuangkan apa rakyat mahu untuk mendapatkan bantuan kos sara hidup ketika PKP, pengeluaran KWSP, mansuh undang-undang mewajibkan pemakaian topeng muka dan lain-lain lagi.

“Jika ketika ‘tsunami’ PRU14 selepas dijatuhkan dengan fitnah, BN menang 79 kerusi, saya yakin tiada masalah untuk BN mendapat sekurang-kurangnya 80 kerusi atau 120 kerusi pada PRU15” katanya.

Author

Pilihan Editor