HomeBeritaBudimas rai sambutan Hari Deepavali bersama 109 kanak-kanak

Budimas rai sambutan Hari Deepavali bersama 109 kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Seramai 109 kanak-kanak dari empat rumah kebajikan meraikan sambutan Hari Deepavali di bawah Yayasan Kebajikan Budimas (Budimas) pada Selasa malam di Pusat Komuniti Bukit Damansara.

Sekitar 210 tetamu majlis tersebut termasuk kanak-kanak dan penjaga mereka dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Sri Bala Illam; Persatuan Rumah Kebajikan RITA; Pertubuhan Kebajikan Kesayangan MAHA dan Pusat Jagaan Kebajikan Kanak-Kanak Budimas Orion.

Ketua Pegawai Eksekutif Budimas, Anne Rajasaikaran berkata dalam ucapannya pada majlis itu bahawa pihaknya sentiasa meraikan empat perayaan utama setiap tahun untuk kanak-kanak dari rumah kebajikan.

Menurutnya, Budimas percaya bahawa tiada sesiapa pun harus dihalang daripada penjagaan dan kasih sayang tidak kira dalam apa jua keadaan yang mereka sedang atau pernah hadapi.

“Sementara kami berusaha untuk mencapai misi kami untuk menyediakan peluang sama rata kepada kanak-kanak kurang bernasib baik, kami juga memastikan kanak-kanak ini dapat merasai perayaan seperti yang lain.

“Tahun ini, kami teruja untuk menganjurkan sambutan Deepavali selepas dua tahun wabak COVID-19 melanda Malaysia,” kata Anne.

Majlis tersebut dirasmikan dengan gimik nyalaan lampu minyak ‘Agal Vilakku’, oleh Anne dan pemegang amanah Budimas iaitu Tunku Datuk Yaacob Khyra, Tunku Yahaya Tun Tan Sri Abdullah dan Datin Seri Maneesah.

Majlis dimeriahkan lagi dengan pertandingan hiasan lampu minyak di antara kanak-kanak rumah kebajikan serta hidangan makanan tradisi India tempatan seperti nasi briyani pulao, ayam chenttinadu varuval dan kambing mysore rajah.

Semangat Deepavali semakin dirasai apabila setiap kanak-kanak menerima ‘duit raya Deepavali’ daripada pemegang amanah Budimas serta beg cenderahati.

Untuk rekod, setakat ini Budimas menampung 43 rumah kebajikan di Semenanjung Malaysia di samping membina dan mengendalikan sembilan perpustakaan di kawasan pedalaman perkampungan Orang Asli di Negeri Sembilan dan Selangor melalui Tabung Amal Pendidikan Budimas (BECF).

Selain itu, Budimas juga menyediakan sarapan pagi kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di 171 sekolah di seluruh Malaysia melalui Tabung Amal Makanan Budimas (BFCF).

Author

Pilihan Editor