KUALA LUMPUR: Calon Bebas Parlimen Selayang, Muhammad Zaki Omar menolak untuk menawarkan janji manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jangan mudah terkejut, Muhammad Zaki sebenarnya menawarkan agenda aspirasi anak muda untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat di Parlimen Selayang, yang berlarutan sebelum menempuh PRU Ke-16 (PRU16) pula.
Ini kerana, katanya rakyat sebenarnya sudah muak dan ‘alergik’ terhadap ‘manifesto’ yang diulang-ulang khususnya daripada parti yang gagal menunaikan tawaran janji dalam intipati bertulis itu.
“Sebenarnya orang dah muak, alergik bila dengar manifesto, sebab banyak tak ditunai.
“Kalau boleh, kita tak nak masalah di Parlimen Selayang berlanjutan hingga PRU16, sebab kita hadir ke sini untuk selesai masalah, bukan untuk simpan (masalah) hingga PRU16.
“Agenda utama dalam aspirasi anak muda daripada saya adalah mahu lebih ramai anak muda muncul dalam bentuk kepimpinan kerana mereka bakal pelapis di Parlimen Selayang,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Muhammad Zaki berkata, bakal pemimpin pelapis adalah penting bagi menjalankan agenda memodenkan Selayang sekali gus menaik taraf kehidupan rakyat pada masa akan datang.
“Katakan saya tidak lagi menjadi wakil Selayang, mereka (pelapis) yang akan ambil alih dan teruskan agenda.
“Kita juga lihat banyak isu masyarakat tidak sampai ke pihak atasan khususnya wakil rakyat dan Parlimen, kerana kekerapan perjumpaan sebagaimana persepsi rakyat lima tahun sekali baru muncul.
“Kalau boleh, kita akan buat setiap bulan, perjumpaan bersama ketua kampung, wakil parti, koperasi, persatuan pekerja, koperasi dalam menaik taraf hidup orang ramai,” katanya.
Selain agenda mewujudkan generasi pemimpin akan datang, Muhammad Zaki turut menawarkan bantuan dokumentasi perniagaan seperti pemilikan lesen dan tapak niaga, kemudahan infrastruktur seperti dewan orang ramai, gelanggang sukan dan pusat komuniti, ekonomi, peluang pekerjaan digital dan kesihatan berteraskan perubatan alternatif.
Kerusi P097 Selayang bakal menyaksikan lima penjuru masing-masing Muhammad Zaki (Bebas), Datuk Abdul Rashid Asari (PN), Chan Wun Hoong (BN-MCA), Sallehudin Amiruddin (Pejuang) dan William Leong Jee Keen (PH) pada PRU15, 19 November ini.