ARAU: Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berharap pengundi di kawasan itu menolak calon dari luar negeri berkenaan termasuk calon Barisan Nasional (BN) yang didakwa berasal dari Pulau Pinang.
Katanya, tindakan itu penting buat rakyat di negeri berkenaan membuktikan bahawa Perlis juga mempunyai calon-calon yang berkepimpinan tinggi dan bukanlah seorang pemimpin yang mengamalkan sikap ‘berpindah-randah’.
“Orang Perlis pun ramai pemimpin, ramai tokoh hebat dan berwibawa, elok pilih calon tempatan, sebab calon luar seringkali datang dan pergi.
“Kalau dia (orang luar yang bertanding di Perlis) hebat, bertandinglah tempat sendiri kenapa cari tempat orang?” katanya seperti dilapor Astro Awani hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Proses Penamaan Calon Parlimen Arau di Dewan Harumanis, Politeknik Tuan Syed Sirajuddin di Arau pada Sabtu.
Terdahulu, Parlimen Arau yang dikategorikan sebagai salah satu kerusi panas bagi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Ketiga-tiga calon berkenaan adalah penyandang kerusi itu, Datuk Seri Shahidan Kassim yang kini bertanding atas tiket PN, Datuk Rozabil Abdul Rahman (BN) dan calon berusia 28 tahun yang ditampilkan Pakatan Harapan, Fathin Amelia Fazlie.
Pengumuman itu dibuat pada jam 12.15 tengah hari oleh Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon Parlimen Arau, Abdul Malek Hassan.