KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan laluan khas Perkhidmatan Bas GOKL membabitkan enam bas mulai hari ini ekoran gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, sejak Rabu lepas.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, laluan khas ini meliputi laluan Pasar Seni, Masjid Jamek dan KLCC dengan kekerapan setiap 10 minit pada waktu puncak iaitu 7 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 8 malam.
“Perkhidmatan Bas GOKL bagi 11 laluan sedia ada berjalan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, pihaknya turut menambah dua lokasi ‘point duty’ di Jalan Jelatik dan Jalan Datuk Keramat daripada 13 ‘point duty’ sedia ada bagi kekerapan penyuraian trafik.
“Penambahan bilangan warden trafik di kawasan yang mempunyai aliran trafik yang tinggi dengan kekuatan keseluruhan seramai 45 orang,” katanya.
DBKL sedia memberikan bantuan dan kerjasama kepada pihak Prasarana Malaysia Berhad, Polis Diraja Malaysia dan agensi sahabat yang lain bagi memastikan kelancaran trafik serta memberi kemudahan kepada pihak yang terkesan. – BERNAMA