CYBERJAYA: Fenomena gerhana bulan penuh akan dapat dilihat pada 8 November, yang akan berlaku 5.8 hari sebelum bulan berada pada kedudukan 404,923 kilometer dari bumi (apogee).
Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berkata, fenomena ini dapat dilihat secara keseluruhan di Asia, Australia, Amerika Utara dan Selatan serta sebahagian utara dan timur Eropah.
“Di Malaysia, fenomena gerhana bulan penuh ini berlaku mulai jam 4.02 petang dan berakhir pada jam 9.56 malam waktu tempatan.
“Fenomena tersebut tidak dapat dilihat di Malaysia pada permulaan fasa gerhana penumbra dan separa kerana ia berlaku apabila bulan berada di bawah ufuk.
“Masyarakat di Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena tersebut apabila bulan mulai terbit di ufuk timur ketika ia mula mengalami fasa gerhana penuh bagi penduduk di Sabah dan Sarawak.
“Manakala bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, fenomena tersebut hanya mula kelihatan ketika fasa gerhana maksimum sehingga fasa gerhana penumbra berakhir pada jam 9.56 malam,” kata MYSA dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut MYSA, gerhana bulan penuh ini merupakan ‘central lunar eclipse’, iaitu gerhana bulan yang berlaku apabila cakera bulan melalui paksi bayang umbra bumi yang berada di tengah-tengah bayang umbra bumi.
‘Central lunar eclipse’ merupakan gerhana penuh yang mempunyai nilai magnitud umbra yang tinggi, tempoh yang panjang dan nilai gamma yang rendah.
Jelasnya, magnitud umbra pada kali ini ialah 1.36 dan nilai Gamma adalah 0.26 dengan tempoh gerhana penuh maksimum adalah selama 85.7 minit.
“Oleh itu, pemerhati dinasihatkan untuk berada di kawasan yang tidak mempunyai halangan di arah timur seperti kawasan yang tinggi ataupun pantai yang menghadap ke arah timur supaya dapat menyaksikan gerhana tersebut seawal mungkin,” pesannya lagi.