HomeBeritaPolitikHapus birokrasi, permudahkan rakyat keutamaan Pejuang di Lembah Pantai

Hapus birokrasi, permudahkan rakyat keutamaan Pejuang di Lembah Pantai

KUALA LUMPUR: Hapus birokrasi, permudahkan rakyat menjadi keutamaan intipati manifesto Pejuang yang dibawa calon di Parlimen Lembah Pantai, Dr Asmah Mohd Razalli mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).

Berpegang prinsip ‘Telus, Adil Tanpa Kerenah Birokrasi’, manifesto yang ditawarkan Dr Asmah dijamin membawa perubahan jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), di Parlimen P121 nanti.

Dr Asmah berkata, tiada sebaik-baik tawaran mampu diberikan kecuali keberanian dirinya untuk membawa pembaharuan kepada rakyat khususnya Parlimen Lembah Pantai.

Dr Asmah Razalli

“Saya bertekad memberi pembaharuan kepada rakyat Malaysia khususnya Parlimen Lembah Pantai dengan membawa perubahan dasar bermula dari pejabat wakil rakyat P121 bermula dengan hapus birokrasi.

“Saya akan mempermudahkan segala proses dan urusan bantuan rakyat dengan kertas kerja dan kerenah birokrasi yang minimum.

“Menyantuni masalah dan keperluan rakyat tanpa perlu kerenah birokrasi yang menyusahkan urusan rakyat,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Tambah beliau, jurang kemiskinan, ketidakmampuan untuk memiliki rumah, pembangunan yang lebih sistematik serta penjagaan kesihatan serta pendidikan seperti biasiswa dan kuota masuk ke Universiti Malaya untuk anak watan Lembah Pantai menjadi keutamaan.

“Celik ekonomi belia juga menjadi keutamaan saya dengan program Tamat Uni Terus Bekerja bersama Dr Asmah,” katanya.

Dr Asmah hari ini melancarkan intipati manifesto untuk dibawa kepada rakyat Parlimen P121 sepanjang kempen PRU15.

Antara lain intipati perjuangan dalam manifesto kepada rakyat Lembah Pantai itu ialah bantuan untuk barisan hadapan (frontliners), birokrasi, kuota biasiswa pendidikan dan anak watan ke mana-mana institusi pendidikan, program belia selepas tamat pengajian, elaun KAFA, dan bantuan asnaf.

Selain itu, mewujudkan pusat ekonomi penjaga industri kecil dan sederhana (IKS), pusat pendidikan awal asuhan untuk ibu bekerja dan keluarga dengan bayaran minimum, pusat sukan belia, jalur lebar percuma.

Tambahan lagi, manifesto itu turut menawarkan Lembah Pantai dibangun sebagai pusat pelancongan, penghapusan taraf muflis dan senarai hitam anak muda, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sewaan beli, pusat kesihatan.

Untuk rekod Dr Asmah seorang doktor perubatan lulusan Ijazah Perubatan Doctor of Medicine dari UCSI University, di sebuah hospital swasta dan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra.

Author

Pilihan Editor