HomeBeritaPolitikIsmail Sabri calon PM dari BN, bukan Zahid Hamidi – Khairy

Ismail Sabri calon PM dari BN, bukan Zahid Hamidi – Khairy

 

CYBERJAYA: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mengesahkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan calon Perdana Menteri dari parti itu.

Menurutnya, perkara itu merupakan pendirian BN seperti yang disuarakan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

“Calon Perdana Menteri adalah Datuk Seri Ismail Sabri… noktah… itu adalah pendirian Barisan Nasional yang diumumkan Datuk Seri Ahmad Zahid sendiri.

“Undi BN dapat Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Dalam pada itu, Khairy turut mengesahkan bahawa aku janji yang tular di media sosial baru-baru ini berhubung sokongan parti terhadap Zahid Hamidi untuk menjadi perdana menteri adalah palsu.

Menurutnya, aku janji yang ditandatangani semua calon menggunakan kepala surat BN adalah berkait lompat parti dan kesetiaan kepada parti.

“Aku janji yang tular itu memang tidak betul. Saya calon BN, aku janji tular yang kononnya ditandatangani oleh Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah atas kepala surat UMNO.

“Pertamanya, kita bertanding atas BN, kita tandatangani aku janji yang ada kaitan dengan lompat parti, kesetiaan kepada parti atas kepala surat BN.

“Yang itu yang saya sign (tandatangan)… tidak ada saya sign letter head (kepala surat) UMNO yang memberi aku janji seperti mana ditularkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan Hospital Sungai Buloh pada Khamis.

Terdahulu, tular dokumen dengan kepala surat UMNO memaparkan tandatangan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO serta Pengerusi BN dan Ahmad Maslan, selepas pengumuman rasmi calon BN pada Selasa.

Antara kandungan yang tertulis dalam aku janji itu adalah ikrar calon UMNO dan BN yang menang pada PRU15 untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

 

Author

Pilihan Editor