HomeBeritaJadi kerajaan perpaduan tak bermakna jual prinsip parti - Azalina Othman

Jadi kerajaan perpaduan tak bermakna jual prinsip parti – Azalina Othman

CYBERJAYA: Menjadi sebahagian kerajaan perpaduan tidak bermakna perlu menjual prinsip dan dasar sesebuah parti, kata Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurutnya, setiap parti boleh memasukkan seluas mungkin janji di dalam manifesto bersama.

“Ini membolehkan parti-parti berkenaan mengekalkan prinsip dan dasar masing-masing serta memastikan pengundi tidak rasa tertipu.

“Pembentukan kerajaan yang merangkumi parti dan gabungan berbeza boleh dilihat sebagai gabungan besar dan disifatkan ‘Gabungan-Pasca PRU15’,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Katanya lagi, terdapat beberapa varian perpaduan politik lain antaranya kerajaan majoriti kuat dengan pembangkang bertanggungjawab atau kerajaan minoriti.

“Kini terpulang kepada parti politik untuk mengenepikan agenda peribadi dan perbezaan demi mengutamakan rakyat sekaligus sebagai tanda penghormatan kepada titah Yang di-Pertuan Agong.

“Seri Paduka Baginda telah menitahkan segera menyelesaikan krisis politik yang menyebabkan Parlimen tergantung dengan penubuhan kerajaan perpaduan,” jelasnya.

Beliau juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas titah penyelesaian berkenaan yang nyata mendahulukan rakyat dan menggalakan kerjasama antara bangsa, agama dan daerah.

Terdahulu, Seri Paduka menitahkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan perpaduan demi negara dan rakyat.

Seri Paduka Baginda turut menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menjadi sebahagian kerajaan baharu.

Author

Pilihan Editor