KUALA LUMPUR: Ahli UMNO yang menjadi calon, pencadang dan penyokong kepada parti lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan terjejas kerana keahlian selaku ahli parti itu tergugur secara automatik mengikut Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan tindakan itu dilaksanakan selari dengan fasal berkenaan dan pihaknya akan memantau secara berterusan sekiranya terdapat mana-mana ahli yang terlibat dengan aktiviti menyokong parti lawan sepanjang kempen PRU15 berlangsung selain berdepan tindakan pemecatan keahlian serta-merta.
Tambah beliau, UMNO telah meneliti senarai calon yang mengemukakan pencalonan dan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyertai PRU15.
“Berdasarkan laporan yang diterima, terdapat ahli UMNO yang menjadi calon, pencadang dan penyokong kepada parti lawan.
“Sehubungan itu, keahlian mereka dalam UMNO dengan ini tergugur secara automatik sesuai dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO.
“UMNO tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan-tindakan khianat oleh mana-mana ahlinya,” maklumnya menerusi kenyataan media hari ini.
Proses penamaan calon PRU15 kali ini menyaksikan penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, yang kedua-duanya merupakan pemimpin UMNO bertindak mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Manakala penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut bertanding mempertahankan kerusi berkenaan serta merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi atas tiket Bebas.