SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 40,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan ke atas sebuah premis di kawasan perindustrian di sini pada 10 November lepas.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, dalam serbuan hasil risikan sejak beberapa hari itu, pihaknya turut menyita sebuah lori, mesin pemampat, dokumen perniagaan dan peralatan lain dengan keseluruhan rampasan berjumlah RM323,000.
“Ketika serbuan, terdapat tiga lelaki warga tempatan mengaku sebagai pekerja di premis itu sedang melakukan kerja pemindahan minyak diesel daripada tangki simpanan ke sebuah lori tanker.
“Kesemua lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti individu atau syarikat terlibat dalam aktiviti berkenaan serta rantaian pengedaran minyak diesel termasuk lokasi minyak itu diperoleh dan diedarkan.
Menurut Azman, syarikat terbabit juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613). – BERNAMA