CYBERJAYA: Kre8tif!, platform rangkaian untuk pemain industri kandungan digital terus menyokong matlamat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mengukuhkan Malaysia sebagai kuasa serantau dalam ekosistem kandungan digital yang kondusif, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, di bawah teraju cemerlang MDEC, kementerian yakin Kre8tif! akan membuka pintu kreatif pencipta kandungan Malaysia dan membantu meningkatkan nilai ekosistem kandungan digital tempatan.
“Ini sejajar dengan inisiatif strategik nasional baharu kami, Malaysia Digital untuk menggalakkan dan menarik syarikat, bakat dan pelaburan di samping membolehkan perniagaan Malaysia dan rakyat untuk memainkan peranan utama dalam ekonomi digital global,” katanya dalam ucapan alu-aluan sebelum melancarkan Kre8tif! Persidangan dan Pertukaran Perniagaan di sini hari ini.
Acara hibrid itu menampilkan padanan perniagaan, elevator pitch, bengkel, acara anugerah, persidangan dan pameran berlangsung dari 7 hingga 18 November di Cyberjaya.
Sejak diwujudkan pada 2009, Kre8tif! telah berkhidmat sebagai platform rangkaian perniagaan yang pasti untuk menghubungkan pemain industri dari seluruh Asia Tenggara.
Menurut Mohammad kementerian itu juga berminat untk melihat Kre8tif! berfungsi sebagai penyokong utama untuk peluang dan rangkaian perniagaan bagi industri kandungan digital di rantau ini dengan kelebihan penggerak pertama yang kukuh.
“Selama bertahun-tahun industri ini terbukti semakin berdaya tahan, membina perkongsian pengetahuan selama beberapa dekad dan memanfaatkan rangkaian pakar antarabangsa yang luas untuk memastikan kandungan Malaysia dapat menyaingi industri matang seperti di Amerika Syarikat, Korea Selatan dan China,” katanya.
Mohammad berkata, industri kandungan digital bukan hanya menyumbang kepada ekonomi negara tetapi juga pemboleh utama dalam mengeksport idea dan budaya Malaysia ke pentas antarabangsa.
Oleh itu beliau berkata Kre8tif! adalah peluang keemasan bagi pemain industri untuk mempelajari daripada gergasi industri, mengambil bahagian dalam perbincangan dengan individu kreatif berfikiran sama dan mendahului trend global yang membentuk industri.
“Kami menyeru kepada semua pencipta kandungan digital tempatan untuk mengambil peluang ini dan bersinar. Tunjukkan kepada dunia bahawa kita boleh setanding dengan atau lebih baik daripada rakan-rakan kita di Hollywood.
“Pada akhirnya, kami semua berusaha untuk menjadikan industri kandungan kreatif Malaysia berdaya saing di peringkat global dan bertaraf antarabangsa. Untuk itu, kami menerima mandat kami untuk memperkasakan industri kreatif negara dan membina ekosistem digital pengeluar kandungan yang mantap,” katanya.
Sementara itu ketika ditemui, Mohammad berkata, Malaysia mempunyai ramai juruanimasi yang berpotensi besar berdasarkan bakat dan kemahiran yang ada pada anak muda, setanding dengan negara-negara lain.
“Kita dapat lihat bagaimana mereka mempamerkan kreativiti masing-masing melalui pelbagai animasi dan ada di antaranya berjaya menghasilkan filem, cerita-cerita pendek sama ada melalui online punya OTT (perkhidmatan over-the-top) atau penyiar yang lain,” katanya. – BERNAMA