KUALA LUMPUR: Selepas kepimpinan UMNO, Ketua Wanita MIC Kebangsaan pula mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Datuk Mohana Muniandy berkata, Ahmad Zahid perlu berbuat demikian berikutan keputusan yang mengecewakan menimpa komponen itu berikutan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.
Katanya, desakan itu juga bagi memberi semula ruang BN untuk bangkit semula (reset) mulai sekarang.
“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu berjiwa besar dan melepaskan jawatan beliau sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO.
“Jalan terbaik ketika saat getir ini adalah usaha memulih dan memperbaiki komponen BN dan ianya perlu bermula sekarang.
“Anggaplah ini satu pengajaran buat kita semua. Peletakan jawatan ini juga untuk memberi laluan kepada pimpinan lain yang mampu membawa perubahan jika tidak mahu berdepan dengan penolakan lebih teruk pada masa hadapan.
“Saya mohon sangat dari lubuk hati saya, dengan penuh rasa hormat supaya Pengerusi BN untuk meletak jawatan. Inilah yang juga dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak telah berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai Presiden pada 2018,” katanya.
Tegas Mohana lagi, Ahmad Zahid perlu mengambil tanggungjawab penuh kerana bertindak menukar 10 calon BN yang mempunyai kekuatan undi putih sehingga menyebabkan kekalahan begitu teruk semalam.
“Tindakan ini juga telah menyebabkan kita kalah dengan begitu teruk walhal calon-calon ini merupakan antara yang mampu memberikan kita kemenangan pada PRU15 ini.
“Rata-rata kekecewaan akar umbi dan umbi dengan tindakan Presiden itu sehingga memboikot dan tidak bersemangat membawa kemenangan untuk BN.
“Tempias itu turut dirasai oleh calon-calon lain kerana jentera tidak dapat bekerja dengan semangat tinggi untuk membawa kemenangan buat BN. Suka atau tidak, ini adalah realiti dan kebenaran pahit,” tegasnya.
Semalam menyaksikan BN sekali lagi gagal memenangi hati rakyat apabila gagal memperoleh majoriti mudah apabila hanya memenangi 30 kerusi Parlimen seluruh negara.