SERI ISKANDAR: Iltizam dan semangat tinggi mendorong pelajar cemerlang Universiti Teknologi Petronas (UTP) untuk membahagikan masanya sebagai pelajar dan usahawan sehingga berjaya menubuhkan syarikat dalam bidang aplikasi teknologi Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR).
Daniel Yusoff Mustaffa, 21, penerima Anugerah Canselor Emas selain memperoleh Anugerah Sijil Dekan pada setiap semester, kini menerajui DYM IT Solutions yang menawarkan perkhidmatan pembangunan aplikasi dengan menjana pendapatan RM30,000 selepas setahun beroperasi.
“Pada 2019 adalah tahun paling saya akan ingat sebab saya pernah merangkul Pingat Emas di Penang International Invention, Innovation and Design (PIID) apabila membangunkan aplikasi Post-AR termasuk pingat emas di International Festival of Innovation on Green Technology (IFINOG) melalui projek System Utilizing Digital Community Technology.
“Pada tahun sama juga, saya mengetuai pasukan membentangkan projek bertajuk Eco-VR dan berjaya memenangi pingat gangsa di International Invention, Innovation and Design Exposition (IIDEX) 2019, selain menggondol tempat ketiga dalam Maxis IoT Challenge 2019 serta berjaya mendapat Maxis Technology Grant berjumlah RM80,000,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen ke-22 UTP di sini.
Menurut Daniel, beliau juga pernah membangunkan sistem aplikasi ujikaji maya untuk objek Orifice Meter, Venturi Meter and Pressure Drops in Pipes dan telah digunakan oleh UTP Centre for Teaching and Learning (CETaL) dalam Pengajaran dan Pembelajaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19.
“Saya juga menjadi ahli projek konsultansi untuk INSTEP dalam membangunkan aplikasi Projek Pam Empar di bawah bimbingan Prof Madya Dr Noreen Izza Arshad pada 2020.
“Selain itu, saya turut bangunkan sistem aplikasi bagi Projek Lawatan ke Taman Herba Gopeng bagi membolehkan orang ramai melawat taman tersebut secara maya,” katanya.
Pemuda berasal dari Kajang, Selangor itu berkata cabaran membahagikan masa sebagai pelajar dan usahawan muda bukanlah perkara mudah namun perlu berani mengambil risiko jika ingin mengejar cita-cita diidamkan.
“Memang saya akui bukan senang untuk fokus dua benda dalam satu masa tetapi yang penting adalah pengaturan waktu antara belajar dan berniaga kerana jika kita bijak kawal selia maka mudahlah semuanya.
“Saya selalu ingat pesanan arwah ibu saya agar terus cemerlang dalam akademik selain kakak saya turut menjadi sumber inspirasi untuk berjaya,” katanya.
Pada majlis itu juga Canselor UTP Tan Sri Dr Mohd Hassan Merican turut menyampaikan Anugerah Canselor Perak kepada Wong Lin Yong (Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik) dan Anugerah Canselor Gangsa kepada Nurziaty Nordin (Sistem Maklumat).
Dr Mohamad Fakhrul Ridhwan Samsudin (Kejuruteraan Kimia) meraih Anugerah Alumni Penyelidik Terbaik peringkat Doktor Falsafah (Phd) dan Farnaz Namaziyan dari Iran yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum pula meraih Anugerah Pelajar Antarabangsa Terbaik.
Sebanyak 1, 438 graduan masing-masing menerima Ijazah Phd, Sarjana dan Sarjana Muda dalam pelbagai jurusan dalam majlis konvokesyen hari ini. – BERNAMA