SERDANG: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Puchong, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader menyifatkan, trend sokongan kepada BN jauh berbeza jika dibandingkan dengan tsunami politik pada tahun 2018.
Beliau yang juga Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) berkata, pengundi pada masa kini semakin matang berdasarkan tinjauan dan kempen yang dijalankan olehnya yang kini sudah memasuki hari ketujuh menjelang hari pengundian pada 19 November ini.
“Sekarang sudah memasuki hari ketujuh kempen, apabila saya menemui ramai pengundi di kawasan Puchong, BN memperoleh satu maklum balas trend sokongan yang baik. Jentera BN Puchong juga sangat bekerja kuat pada kempen kali ini termasuk wanita, menjadi tulang belakang kempen saya.
“Pengundi muda yang berumur 18 tahun ke atas, ramai yang masih muda dan pengundi atas pagar, kempen digiatkan dengan pelbagai program dilaksanakan untuk mendekati golongan remaja ini yang dijangka akan turun mengundi buat kali pertama. Saya yakin mereka akan faham apa yang BN ingin lakukan kepada mereka sekirnya dipilih.
“Saya fikir pengundi mahukan perubahan di Puchong. Ini kerana banyak masalah membabitkan isu tempatan tidak diselesaikan. Insya-Allah sekiranya saya diberi amanah dan mandat pada 19 November ini, saya akan selesaikan mengikut slogan kempen saya ‘Saya Tunai, Saya Janji’,” katanya kepada MEDIA VARIASI selepas berkempen melalui program dan sesi walkabout, di sini hari ini.
PRU15 di Parlimen Puchong menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (BN); penyandang kerusi Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin (PH); Chew Jyh Gang (PN) dan aktivis kemasyarakatan, Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang (Bebas).