WASHINGTON: Bekas Presiden Donald Trump akan tetap mengumumkan kempen presiden 2024 pada Selasa, penasihat lama Jason Miller berkata dalam satu wawancara.
Pada Isnin, Trump berkata beliau mempunyai pengumuman besar” untuk dibuat pada 15 November. Bagaimanapun, The Washington Post melaporkan sekutu lamanya menggesa Trump untuk menangguhkan langkah itu sehingga selepas pemilihan penentu senat Georgia pada Disember.
“Presiden Trump akan mengumumkan pada hari Selasa bahawa beliau akan bertanding untuk jawatan presiden dan ia akan menjadi pengumuman yang sangat profesional, sangat kemas. Kami melakukan semakan pagi ini dengan pasukan logistik,” Sputnik memetik Miller sebagai berkata pada podcast Steve Bannon, War Room, pada Jumaat.
Miller juga berkata Trump “bersemangat” dan mahu orang ramai mengetahuinya.
Parti Republikan dijangka memenangi majoriti Dewan selepas pilihan raya separuh penggal minggu ini, namun merekod prestasi mengecewakan daripada jangkaan. Calon yang disokong Trump mencatat keputusan bercampur-campur dengan bekas presiden itu sendiri mengakui keputusan penggal pertengahan itu “mengecewakan”.
Nasib Dewan Negara masih bergantung kepada tiga lagi pemilihan yang belum dilaksanakan. Jika kedua-dua pihak tidak memenangi kerusi kedua-dua Arizona dan Nevada, keputusan Senat akan ditentukan oleh pemilihan di Georgia pada 6 Disember. – BERNAMA